PETALING JAYA, 14 Ogos – Pasukan Sabah FC mempamerkan kebangkitan dramatik untuk melakar kemenangan 3-2 ke atas Kuala Lumpur City (KL City) pada aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam tadi.
Pada aksi tersebut, skuad The Rhinos kendalian Datuk Ong Kim Swee mengekalkan ramuan yang sama dengan kesebelasan utama dibarisi tonggak seperti Ramon Machado, Saddil Ramdani dan kapten, Park Tae-su.
Kedua-dua pasukan dilihat saling berbalas serangan pada babak pertama tetapi setiap percubaan yang dilakukan gagal menerjah jaring, lapor KOSMO.
Aksi bertambah rancak pada separuh masa kedua apabila pasukan tuan terlebih dahulu membuka jaringan menerusi ledakan Stuart Wilkin pada minit ke-50.
Tersentak dengan gol tersebut, skuad Warga Kota kembali bangkit menyamakan kedudukan hasil jaringan menarik yang dicipta penyerang import Colombia, Romel Morales berselang lapan minit kemudian.
KL City yang dikendalikan oleh Nenad Bacina berjaya meraih kedudukan 2-1 apabila penyerang muda, Haqimi Azim menjaringkan gol kedua pada minit ke-70.
Enggan menyerah terlalu awal, Sabah kembali menyamakan kedudukan hasil ledakan Tae-su pada minit ke-79 untuk menaikkan semangat rakan sepasukan.
Serangan bertali arus yang dilakukan Sabah membuahkan hasil apabila pemain gantian, Gabriel Peres meledak gol kemenangan pada penghujung perlawanan dengan kedudukan 3-2 kekal sehingga wisel penamat.
Sabah kini mengutip 36 mata selepas mengharungi 20 perlawanan manakala KL City kekal dengan 28 mata.- nasionalkini.my