in

JDT tewaskan Perak FC

Aksi berintensiti tinggi dipamerkan kedua pasukan sebaik perlawanan bermula yang menyaksikan JDT lebih kerap menguasai permainan

ISKANDAR PUTERI, 14 Ogos – Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin hampir merangkul trofi Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut selepas menjinakkan The Bos Gaurus 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini malam tadi.

Pasukan kendalian Esteban Solari itu yang sudah mengumpul 60 daripada 20 perlawanan liga, dibezakan 17 mata dengan pasukan di tempat kedua, Selangor FC hanya memerlukan satu lagi kemenangan bagi mengesahkan kejuaraan liga terus berada dalam dakapan Harimau Selatan.

Pada perlawanan itu, JDT seperti kebiasaan beraksi di SSI mendominasi permainan sebaik minit pertama memerlukan sedikit masa sebelum meruntuhkan benteng pertahanan Perak FC.

JDT memecahkan kebuntuan menerusi rembatan deras Heberty Fernandes dari jarak 25 meter pada minit ke-21 menerjah penjuru kanan atas gawang Perak menewaskan T. Shaheeswaran.

Lima minit berselang, giliran Arif Aiman Hanapi membuat percubaan tepat ke arah pintu gol namun kali ini Shaheeswaran lebih bersedia menguis bola tersebut dan memberikan sepakan penjuru kepada JDT.

Berpunca daripada sepakan penjuru itu, Matt Davies yang menerima hantaran di sayap kiri gawang membuat tandukan lambung ke dalam kotak penalti yang akhirnya menghasilkan jaringan setelah Shaheeswaran terpedaya dengan lonjakan Fernandes yang gagal menanduk bola itu pada minit ke-27.

Pada minit ke-33, Juan Muniz gagal memanfaatkan sepakan percuma di kedudukan yang hampir dengan pintu gol Perak apabila rembatan dilepaskan sedikit tersasar.

Shaheeswaran melakukan ‘blunders’ apabila hantaran ke belakang diterimanya disepak tepat ke kaki Bergson Da Silva yang dilihat cukup tenang meletakkan bola itu ke gawang The Bos Gaurus dengan melakukan sepakan lambung melewati penjaga gol pada minit ke-35.

Pada minit ke-55, Jordi Amat melakukan hantaran jauh mencari Oscar Arribas di bahagian sayap kiri yang mudah melepasi kawalan pertahanan lawan sebelum melakukan rembatan rendah melepasi hadangan yang dibuat Shaheeswaran.

10 minit berselang, skuad kendalian Solari itu terus menambah derita buat pasukan pelawat apabila meledak gol kelima perlawanan menerusi gol jaringan Muniz hasil sepakan bebas yang melayang menerjah penjuru kanan gol pada minit ke-65.

Syafiq Ahmad dan Ramadhan Saifullah yang dibawa masuk pada pertengahan babak kedua tidak berupaya untuk melebarkan jaringan gol dan tiada pertambahan gol direkodkan lapor KOSMO.

JDT boleh dinobatkan sebagai juara Liga Super musim ini sekiranya berjaya menewaskan Kedah Darul Aman FC di Stadium Darul Aman, Kedah pada 26 Ogos ini.- nasionalkini.my

20230510 071718

Ribuan bahan letupan ditemui dalam sekolah

Sabah FC bangkit kalahkan KL City