in , ,

Skuad negara rugi besar jika terlepas aksi persahabatan FIFA

HARIMAU MALAYA 1

KUALA LUMPUR – Skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya bakal berdepan kerugian besar sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gagal mengatur sebarang aksi persahabatan antarabangsa menjelang jendela FIFA, bulan depan.

Kebimbangan itu disuarakan bekas penyerang prolifik kebangsaan, Safee Sali yang menyifatkan tempoh rehat antarabangsa tersebut amat kritikal untuk dimanfaatkan sepenuhnya oleh barisan kejurulatihan negara.

Meskipun tidak pasti mengenai status perancangan semasa badan induk itu, Safee percaya pengendali kebangsaan, Peter Cklamovski pastinya mempunyai strategi tersendiri demi mempersiapkan pasukan.

Impak Kedudukan Ranking FIFA

“Saya tidak pasti sama ada Harimau Malaya akan mengadakan aksi persahabatan atau tidak, mungkin barisan jurulatih ada perancangan mereka tersendiri.

“Namun, jika kesempatan serta ruang (jendela FIFA) itu tidak digunakan, saya rasa ia satu kerugian yang amat besar buat skuad negara,” katanya ketika ditemui media, baru-baru ini.

Menurut Safee, pengurusan Harimau Malaya sepatutnya mengeksploitasi peluang yang ada untuk mengutip mata ranking FIFA, sekali gus memperbaiki kedudukan skuad kebangsaan yang kini hambar di tangga ke-138 dunia.

Negara Jiran Mula Bersiap Sedia

Mengikut kalendar perlawanan antarabangsa, jendela FIFA dijadualkan dibuka dari 1 hingga 9 Jun ini, yang membolehkan setiap pasukan kebangsaan mengatur sehingga dua aksi persahabatan kompetitif.

Bagaimanapun, ketika negara-negara serantau sudah mula mengumumkan senarai pemain ke kem latihan pusat, FAM dan pengurusan Malaysia NT masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perancangan pasukan.

Skuad negara kali terakhir turun beraksi ketika tunduk kepada Vietnam pada aksi Kelayakan Piala Asia 2026, Mac lalu.

Harimau Malaya bakal berdepan jadual padat tidak lama lagi apabila dijadual mengharungi kempen Piala AFF pada Julai, disusuli saingan Piala ASEAN FIFA pada September depan.

getb

YGMB, GETB lancar tiga skim takaful mampu milik bela kebajikan guru

plastik 1779068820

Tabung Haji perkenal bekas makanan bertingkat, sedia 10 menu baharu