KUALA LUMPUR, 29 Julai – Kuala Lumpur (KL) City bangkit dari ketinggalan untuk membelasah Kelantan 5-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, petang tadi.
Skuad City Boys terlebih dahulu dikejutkan jaringan pembukaan The Red Warriors (TRW) seawal minit ketiga hasil sepakan percuma Leonardo Rolon.
Zhafri Yahya bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan apabila rembatannya menerjah jaring pada minit ke-26.
KL City dibimbing penolong ketua jurulatih Miroslav Kuljanac susulan penghijrahan Bojan Hodak ke Persib Bandung, berada di depan hanya kira-kira dua minit selepas bersambung babak kedua menerusi jaringan Romel Morales.
Pemain kelahiran Colombia itu kemudian mengukuhkan kedudukan City Boys apabila mudah menampan masuk bola hantaran Kamal Azizi Zabri pada minit ke-65, lapor BH.
Pemain gantian, J Partiban meneruskan pesta KL City apabila meledak gol keempat pada minit ke-84 sebelum Morales melengkapkan hatriknya dalam perlawanan itu pada masa kecederaan.
Kemenangan itu menyaksikan KL City memintas Terengganu di kedudukan keenam liga dengan mengumpul 28 mata selepas mengharungi 18 perlawanan.
Kelantan pula kekal di tangga tercorot dengan hanya mengutip lima mata.- nasionalkini.my