in

Bekas menantu Ismail Sabri diarah bayar pinjaman RM10 juta

Gambar ihsan NSTP

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Pereka fesyen, Jovian Mandagie diperintahkan Mahkamah Tinggi di sini, membayar RM10 juta kepada dua pengarah syarikat selepas didapati gagal membayar dua ‘pinjaman persahabatan'(friendly loan).

Keputusan itu dibuat hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin pada 2 dan 4 April lalu, selepas membenarkan ‘penghakiman terus’ dimohon syarikat Cekap Air Sdn Bhd dan Bina Pragmatik Sdn Bhd.

‘Penghakiman terus’ merujuk kepada permohonan difailkan pihak yang memulakan tindakan (plaintif) untuk mendapatkan penghakiman dari mahkamah tanpa perlu melalui proses perbicaraan.

Perkara itu disahkan firma guaman Saiful, Roger & Co yang mewakili kedua-dua syarikat berkenaan.

Ahmad Fairuz dalam penghakimannya memerintahkan Jovian selaku defendan membayar RM5 juta, masing-masing kepada Bina Pragmatik Sdn Berhad dan Cekap Air Sdn Bhd, lapor BH Online.

Difahamkan, Jovian sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu pada 30 April lalu.

Pada 16 Mei tahun lalu, dua syarikat itu memfailkan saman terhadap Jovian secara berasingan kerana didakwa gagal membayar semula wang RM5 juta yang dipinjamkan atas dasar ‘pinjaman persahabatan’.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, syarikat terbabit mendakwa Jovian adalah kenalan kepada pengarah syarikat Cekap Air, Yong Zhen Wei dan pengarah Bina Pragmatik, Azirul Salihin.

Cekap Air mendakwa, ia meminjamkan RM5 juta kepada Jovian atas permintaan lisan pereka fesyen itu pada 25 Februari 2022, dan memindahkan wang ke akaun pelanggan firma guaman mewakili Jovian.

Menurut Cekap Air, firma guaman terbabit mengesahkan penerimaan wang atas arahan defendan.

Bina Pragmatik pula mendakwa meminjamkan wang dengan jumlah sama kepada Jovian pada 25 Mac 2022 dan turut memindahkan wang ke akaun pelanggan firma guaman sama.

Kedua-dua plaintif mendakwa, ‘pinjaman persahabatan’ terbabit perlu dilunaskan dalam tempoh tidak melebihi 12 bulan.

Dakwa plaintif, pinjaman itu diberikan dan dilakukan secara lisan dan kasual kerana mereka dan Jovian adalah kenalan dan tidak ada sebab untuk meragui ahli perniagaan itu kerana dia mempunyai beberapa perniagaan lain, selain ketika itu menantu kepada bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, kedua-dua plaintif mendakwa sehingga kini, defendan memungkiri perjanjian pinjaman dan gagal membayar semula atau memulangkan kembali wang berkenaan menyebabkan mereka kerugian. – Malaysiapost

YADIM Pahang agih bantuan untuk asnaf

Pesakit diabetes terima kerusi roda