KOTA KINABALU, 12 Julai – Sabah FC tidak akan memberi ruang kepada Sri Pahang FC menguasai permainan pada pertemuan Liga Super di Stadium Likas, Sabtu ini.
Ketua jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee, berkata pasukannya tidak gentar dengan pasukan ketiga terbaik Liga Super itu, malah bersikap positif untuk mengutip tiga mata penuh.
Katanya, bagi mencapai sasaran itu, pasukannya giat melakukan persiapan rapi untuk menyambut kedatangan Sri Pahang dengan corak permainan lebih bertenaga.
Apa yang penting, katanya semua pemainnya perlu lebih fokus dan mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan.
“Kita mengakui kelebihan Sri Pahang tetapi Sabah tetap akan memberikan saingan sengit pada perlawanan itu nanti.
“Kali ini Sabah tidak akan beri ruang kepada Sri Pahang untuk menguasai permainan, matlamat kita ialah untuk mencapai keputusan positif,” katanya kepada BH.
Pengendali Skuad Sang Badak itu berkata, Kuching City FC hampir mendapatkan satu mata pada pertemuan di Stadium Likas Sabtu lalu, namun kesungguhan pemain mencapai kemenangan berjaya memastikan tiga mata milik Sabah.
Sementara itu, Kim Swee berkata, Telmo Castanheira dan Miguel Angel Garrido Cifuentes atau Cifu masih mengalami kecederaan.
Bagaimanapun, katanya situasi itu tidak menjejaskan persiapan menjelang perlawanan dengan skuad Tok Gajah.- nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN