in

Miji Cromok sudah tiada

Gambar ihsan Karl Cromok

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Bekas pemain dram band ‘thrash metal’, Cromok, iaitu Miji, 58, meninggal dunia dipercayai akibat kanser hati tahap empat di Pasir Mas, Kelantan, pada jam 10.40 malam semalam.

Berita pemergian Allahyarham Miji atau nama sebenarnya, Tarmizi Mokhtar dikongsi pemain gitar band itu, Karl melalui hantaran di Facebook.

“Dengan penuh kesedihan dan rasa kehilangan yang mendalam, kami ingin memberitahu bahawa Tarmizi Mokhtar (Miji Cromok) kembali ke Rahmatullah pada 6 Mac 2024 jam 10.40 malam.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” tulis Karl, lapor BH Online.

Melalui hantaran terbaharu, Karl memberitahu, Allahyarham Miji akan disolatkan di kediamannya di Pasir Mas dan dikebumikan selepas Zohor di tanah perkuburan Islam berhampiran.

“Jenazah sekarang berada di Kampung Jias, Pasir Mas.

“Sembahyang jenazah di rumah manakala majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Lemal selepas Zohor,” katanya.

Karl mengajak orang ramai untuk hadir memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham Miji.

“Kami mengundang anda semua untuk turut serta dalam doa dan memberi sokongan kepada keluarga Almarhum pada masa kesedihan ini.

“Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada keluarga untuk menghadapi dugaan ini dengan sabar dan reda.

“Pada yang berkesempatan, kami berharap agar dapat menyertai perjalanan terakhir ini sebagai tanda penghormatan kepada arwah,” katanya. — nasionalkini.my

KL Rovers pilih Liga Singapura

Kadar OPR kekal 3 peratus