ISKANDAR PUTERI, 22 Julai – Johor Darul Ta’zim (JDT) memastikan Piala FA dipertahankan buat dua musim berturut-turut selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 2-0 pada aksi final di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.
Kejayaan itu cukup manis apabila diraih di hadapan penyokong sendiri, selain menjadi kejuaraan ketiga selepas memenangi trofi itu pada musim lalu dan musim 2016.
Skuad kendalian Esteban Solari mula mengorak langkah dengan mengasak ke kubu KL City dan seawal minit kedua, Arif Aiman Hanapi bertindak menyusup masuk ke dalam kotak penalti tetapi sempat dihalang pertahanan The City Boys.
KL City nyata tidak berdiam diri sebaliknya hampir mengejutkan JDT pada minit ke-15 selepas bola sepakan percuma Paulo Josue tepat kepada Matko Zirdum yang sempat merembat namun berjaya dihalang penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.
Malang buat JDT selepas peluang terhidang untuk merungkai jaringan terlepas apabila bola rembatan Afiq Fazail dari luar kotak penalti pada minit ke-27 sekadar singgah di palang gol ketika penjaga gol, Kevin Mendoza sudah tertewas.
Sekali lagi skuad kendalian Bojan Hodak hampir mencipta jaringan pada minit ke-35 apabila bola sepakan Ramirez tepat kepada T Saravanan yang berjaya memperdaya Matthew Davies sebelum merembat bola leret tetapi sipi di sebelah kiri gawang.
Malang buat anak didik Solari apabila gol dijaringkan Bergson pada minit ke-56 dibatalkan pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin selepas pemain itu berada dalam keadaan offsaid, lapor BH.
Selepas memerah segala keringat menggempur benteng skuad The City Boys akhirnya gol dinanti menjelma pada minit ke-65 selepas Shio Hong Wan melakukan rembatan dari jarak 30 meter tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan Mendoza untuk meletak JDT mendahului 1-0.
Leandro Velazquez kemudian melengkapkan kemenangan dengan gol kedua apabila dia yang tidak dikawal merembat bola di antara Sebastian Avanzini dan Kamal Azizi Zabri pada minit ke-74.- nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN