BEIJING, 14 OGOS – Angka kematian akibat banjir lumpur di bandar Xian di barat laut China meningkat kepada 21, dengan enam orang masih hilang, kata pihak berkuasa pengurusan kecemasan bandar itu ketika China bergelut dengan hujan berterusan.
China Central Television (CCTV) sebelum ini melaporkan banjir lumpur di bandar Xian kelmarin akibat hujan lebat berterusan menyebabkan kira-kira 18 maut dan hilang.
Sebuah video yang dikeluarkan oleh agensi berita rasmi Xinhua menunjukkan pokok tumbang dan runtuhan bertimbun di sepanjang jalan berlumpur di sebuah kampung yang terletak di kawasan pergunungan, dengan rumah dan infrastruktur rosak serta musnah.
Kejadian itu turut memusnahkan dua buah kediaman dan memutuskan bekalan elektrik kepada kira-kira 900 isi rumah, kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan di akaun WeChat.
Menurut CCTV, hujan masih menimbulkan risiko banjir kepada bandar-bandar rendah termasuk Anshan, yang mana 17,859 orang telah dipindahkan.
Hujan semalaman di Liaoning memuncak pada 52mm sejam, dengan empat takungan melebihi had banjir, kata CCTV. – Agensi