KUALA LUMPUR, 19 September – Pelakon Farid Kamil mengesahkan dia dan isteri yang juga aktres Diana Danielle telah kembali rujuk pada penghujung Ogos lalu.
Farid atau nama lengkapnya Farid Kamil Zahari, 42, bersyukur perkahwinannya itu berjaya diselamatkan dan kembali terjalin selepas berdepan pelbagai ujian.
“Alhamdulillah, perkahwinan saya dapat diselamatkan dengan izin Allah. Sejarah itu telah mematangkan kami berdua.
“Kami kembali rujuk pada 31 Ogos 2023,” kongsi Farid kepada program hiburan popular TV3, Melodi.
Berkongsi lebih, Farid tidak menyangka pertemuan dengan Diana lalu membawa mereka untuk kembali bersama sekali gus menerbitkan semula rasa cinta dan kasih sayang.
“Sebenarnya tarikh tersebut tidak dirancang. Ia bermula dengan Diana mempelawa untuk bersarapan bersama.
“Saya tak sangka ia keluar dari mulut Diana.
“Saya ambil peluang itu untuk luahkan apa yang yang saya rasa dan kami juga tak menyangka pertemuan itu akhirnya menyemarakkan lagi perasaan dan bibit cinta, kasih sayang dan apresiasi yang selama ini kami cari.
“Selepas lebih kurang lima bulan tak dapat bertentang mata dengan Diana.
“Bermula antara Mac hingga 31 Ogos, saya dan Diana tak berhenti berdoa menyerah harapan kami kepada Allah untuk beri petunjuk.
“Saya menyerah diri saya kepada Allah dan memberi kembali rasa sayang kepada kami,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelakon filem Remp-it 2 ini menyatakan agama adalah penguat dirinya untuk mengambil keputusan yang menggembirakan semua itu.
“Pokoknya adalah agama. Saya sebagai suami mampu bimbing isteri saya dan harus kuat ilmu agama supaya dia dapat bimbing anak-anak dan perkahwinan itu kembali kukuh dan kebahagiaan akan muncul.
“Bila berlaku perceraian, sudah tentu kami mengambil masa untuk muhasabah diri dan menilai balik perkahwinan kami,” katanya.
Tanpa meminggirkan perasaan anak-anak untuk kembali mempertahankan rumah tangga yang dibina, Farid berkata, itu adalah hadiah yang terbaik buat anak-anaknya untuk terus hidup sebagai satu keluarga.
“Saya tak pernah terfikir untuk kembali bersama. Hadiah terbaik untuk anak-anak adalah melihat ibu bapa bahagia hidup bersama.
“Itulah yang kami perjuangkan selama ini.
“Pertemuan ini membuahkan rasa selama ini hilang kerana pekerjaan, kehidupan, duniawi di mana kita berkahwin kerana Allah.
“Kami berjaya mencari titik noktah dan pendamaian sebetulnya kami tidak pernah menyangka rasa itu ditimbulkan kembali.
“Susah saya nak gambarkan dengan kata-kata,” katanya lagi.
Bapa kepada dua cahaya mata itu akui, terbit rasa bersalah dalam diri apabila melalui fasa paling sukar, namun bersyukur doa anak-anak tidak pernah putus.
“Biarpun soal jodoh sudah ditentukan namun anak-anak saya tidak henti berdoa satu hari nanti ibu bapa akan kembali.
“Terutamanya Muhammad, doa yang dia minta seperti doa yang terhijab buat kami berdua.
“Mereka masih kecil, tak mustahil doa yang dipanjatkan dimakbulkan dalam masa terdekat.
“Perceraian selama 21 hari ini sangat menerbitkan rasa bersalah terhadap diri dan anak-anak.
“Bila saya tanya Muhammad ‘mahukah lihat saya dan Diana kembali’, dia beri jawapan ‘mereka tak pernah merasakan kami terpisah’,” kongsinya, lapor BH Online.
Farid berkata, untuk melafazkan kata cerai itu sangat berat bagi dirinya dan merasakan ia umpama mimpi ngeri.
“Saya akui doa anak-anak, ibu bapa, mentua dan orang ramai membantu pendamaian dan proses merujuk.
“Sebetulnya, melafazkan cerai bukanlah satu hal yang mudah, kesanggupan saya melafazkan tiada, tetapi disebabkan keadaan sangat menekan dan tidak tentu arah buat saya ibarat mimpi ngeri.
“Terima kasih kepada semua yang tak pernah putus harapan mendoakan. Alhamdulillah kami kembali bersama,” tutupnya.
Farid dan Diana sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor pada 10 Ogos lalu.
Untuk rekod, Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.- nasionalkini.my