IPOH – Warga pendidik di negara ini kini berpeluang menikmati perlindungan komprehensif pada harga mampu milik menerusi pelancaran tiga skim takaful baharu hasil kerjasama antara Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) dan Great Eastern Takaful Berhad (GETB).
Tiga produk perlindungan yang diperkenalkan khas buat warga guru dan kakitangan sokongan itu ialah Skim Pendidik Muda, Skim Pendidik Perdana dan Skim Pendidik Budiman.
Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, pengenalan ketiga-tiga skim berkenaan amat bertepatan bagi membantu warga pendidik mendepani cabaran dan keperluan kewangan semasa.
Tangani Impak Inflasi Perubatan
“Antara cabaran kewangan utama yang dihadapi golongan ini ketika ini ialah kos kesihatan yang semakin meningkat, selain kenaikan bayaran premium bulanan oleh syarikat insurans dan takaful akibat inflasi perubatan.
“Justeru, inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan YGMB untuk memastikan kebajikan guru, kakitangan pendidikan serta pesara sentiasa terpelihara,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran skim tersebut sempena sambutan Hari Guru di sebuah hotel di sini, kelmarin.
Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas dan Ketua Pemasaran GETB, Rashida Mior Ahmad Darwish.
Tiga Pilihan Perlindungan Fleksibel
Skim-skim yang ditawarkan direka mengikut kesesuaian fasa kerjaya dan kehidupan warga pendidik:
- Skim Pendidik Muda: Disasarkan kepada guru yang baharu memulakan kerjaya. Menawarkan perlindungan asas meliputi kematian, hilang upaya kekal dan menyeluruh (TPD) serta 50 penyakit kritikal pada kadar serendah RM20 sebulan sehingga usia 60 tahun.
- Skim Pendidik Perdana: Khusus buat guru yang sudah berkeluarga dengan menawarkan perlindungan kepada ahli berserta pasangan dan anak-anak pada kadar RM49 sebulan sehingga berumur 60 tahun.
- Skim Pendidik Budiman: Menawarkan perlindungan serupa dengan Skim Pendidik Perdana, namun tempoh perlindungan dilanjutkan sehingga ahli berusia 70 tahun dengan kadar RM45 sebulan (RM33 untuk pasangan dan RM21 untuk anak).
“Bagi fasa permulaan ini, YGMB menyasarkan antara 10,000 hingga 20,000 warga pendidik dan kakitangan sokongan akan menyertai skim perlindungan ini dalam tempoh tahun ini,” tambah Wan Munadi.


