Oleh Adam Aariz
KUALA LUMPUR, 3 Julai – FELDA akan membantu meringankan beban keluarga kepada 10 mangsa tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, semalam.
Menyatakan rasa sedih dengan kejadian itu, Pengerusi FELDA Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata beliau telah meminta pihak pengurusan FELDA untuk membantu keluarga dari FELDA Lepar Hilir 3, Pahang, terbabit.
“Saya meminta pihak pengurusan FELDA membuat yang terbaik untuk membantu mangsa dan mengurangkan beban keluarga.
“Saya menyeru kepada semua untuk berdoa agar misi ini berjalan lancar dan semoga semua mangsa dapat ditemui,” katanya di Facebook.
Mengikut siasatan polis, keluarga terbabit datang ke jeram berkenaan sejak jam 2 petang, Sabtu lalu untuk berkelah.
Difahamkan mereka mungkin tidak menyedari keadaan kepala air yang datang dengan deras secara tiba-tiba dan menyebabkan paras air meningkat antara lima hingga 10 meter.
Semalam, dua mayat ditemukan iaitu Azizah Eiyi, 40, dan anaknya Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, masing-masing dijumpai kira-kira jam 12.45 tengahari dan 5 petang.
Lapan lagi belum ditemui termasuk tujuh sekeluarga iaitu Karim Abdullah, 39; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.
Seorang lagi individu yang hilang adalah tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, berasal dari Batu Pahat, Johor. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN