KEMAMAN, 4 Julai – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa yang masih hilang dalam kejadian kepala air di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih dekat sini diteruskan jam 9 pagi tadi.
Ketua Zon 2 Bomba Terengganu, Azman Alias berkata, operasi itu melibatkan 170 anggota dari pelbagai agensi termasuk bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) selain dibantu orang awam.

“Hari ini kita tumpu di kawasan sektor A, B dan C di kawasan sungai dengan membuat pencarian di tebing.
“Mangsa keempat dan kelima dijumpai di darat dan ada tersangkut di belukar dan bawah timbunan kayu.
“Jadi kita percaya baki mangsa tersangkut di kawasan semak.
“Ini berikutan kejadian kepala air menyebabkan paras air ketinggian 10 kaki (3 meter) dan air itu meliputi tebing sungai,” katanya kepada Sinar Harian semasa sidang media di sini, hari ini.

Sebelum ini, 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari FELDA Lepar Hilir, Kuantan, Pahang datang berkelah di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih pada Sabtu sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.
Semalam, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan mengesahkan enam mayat yang ditemukan adalah mangsa tragedi tersebut.
Mengulas lanjut, Azman berkata, pencarian masih di radius yang sama melibatkan tiga zon seluas kira-kira 35 kilometer persegi.
Beliau menambah sebanyak enam unit anjing pengesan K9 JBPM dan PDRM digunakan dalam operasi tersebut. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN