KUANTAN, 12 Jun – Keputusan kerajaan melaksanakan subsidi diesel bersasar mengakibatkan ramai peneroka mula ‘pening’ dan kecewa.
Ada antaranya mula termenung kerana kebanyakan jentera di ladang sawit beroperasi menggunakan bahan api itu.
Kekecewaan warga peneroka FELDA Lepar Hilir 2, dekat sini, diluahkan kepada ADUN Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus.
Mohd Yazid yang kebetulan sedang menziarahi kawasan itu, singgah untuk minum petang di sebuah gerai dalam kawasan tanah rancangan berkenaan.
“Peneroka ramai yang menggunakan kenderaan diesel bagi kegunaan seharian mereka di ladang.
“Mereka renungkan nasib buruk apakah lagi yang akan menimpa selepas ini… hanya Allah mengetahuinya,” kongsi Mohd Yazid di Facebook.
Berkuat kuasa Isnin lalu, harga runcit diesel ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter berbanding RM2.15 seliter sebelum penarikan subsidi dilakukan. – nasionalkini.my