in

2 lagi mayat tragedi kepala air ditemui

Keadaan kenderaan milik mangsa yang ditemui di lokasi kejadian - Gambar oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman

Oleh Nad Shaari

KEMAMAN, 3 Julai – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi kepala air Jeram Mawar dekat Air Putih di sini, berjaya menemui dua lagi mayat dipercayai mangsa insiden itu hari ini.

Mayat berkenaan ditemui kira-kira 15 kilometer dari lokasi kejadian.

Difahamkan mayat ditemui jam 11.00 pagi itu adalah Muhammad Haziq Ziqree Karim, berusia enam tahun.

Mayat itu ditemui pasukan SAR di sektor dua berhampiran Sungai Teladas.

Satu lagi mayat dipercayai kanak-kanak perempuan, ditemui berhampiran lokasi penemuan mayat Muhammad Haziq Ziqree, kira-kira setengah jam kemudian.

Identiti mayat kedua itu bagaimanapun masih belum dapat dipastikan.

Pasukan SAR sedang membawa keluar dua mayat ditemui kira-kira 15 kilometer dari lokasi kejadian di Jeram Mawar, Air Putih dekat Kemaman – Gambar oleh KOSMO

Pasukan SAR sedang berusaha membawa keluar kedua mayat itu ke kawasan pusat operasi.

Tragedi membabitkan keluarga malang itu dilaporkan media semalam.

Dalam insiden berkenaan, seramai 10 mangsa termasuk sembilan sekeluarga dihanyutkan arus deras akibat fenomena kepala air sewaktu berkelah di kawasan jeram itu.

Dua mayat mangsa iaitu Azizah Eiyi, 40, dan anak keempatnya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11 tahun ditemui tengah hari dan petang semalam.

Kedua mayat itu kini berada di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk proses bedah siasat. – nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

UMT anjur program bina model kapal

Tiada diskaun saman, kompaun di KL