KUALA LUMPUR, 24 Mei – Kerajaan perpaduan dikritik kerana dipercayai memperalatkan pelajar sebuah sekolah menengah dan anggota bomba bagi menonton filem Anwar: The Untold Story.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan tindakan itu mencerminkan sikap terdesak pihak kerajaan dalam menyebarkan propaganda politik.
“Apa sudah jadi? Kenapa ditunggang sekolah dan bomba untuk kerja sebegini?
Bolehkah dibawa mesej propaganda politik kepada murid-murid dan penjawat awam dengan cara sebegini? Bukan semua benda dalam filem tu betul pun,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan tindakan terdesak itu tidak pernah dilakukan dalam pemerintahan sebelum ini.
“Macam terdesak sangat! Dulu zaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tak ada pun buat macam ni untuk filem filem biopik Almarhum Tun Abdul Razak Hussein ‘Tanda Putera’,” katanya.
Semalam, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah menjemput pelajar Tingkatan 6 di sebuah sekolah menangah di Putrajaya untuk menonton filem tersebut.
Filem buatan Indonesia itu berlatarkan tahun 1990-an yang menceritakan mengenai perjalanan hidup Anwar sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan dan selepas dipecat daripada pentadbiran kerajaan Dr Mahathir Mohamad.
Jemputan berkenaan dibuat melalui sepucuk surat yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) semalam.
Malah turut dijemput menonton filem berkenaan adalah Jabatan Bomba Malaysia dan Penyelamat pada 19 Mei yang menjemput kakitangannya untuk menonton tayangan amal ‘Anwar: The Untold Story’ di Putrajaya. -nasionalkini.my