KUALA LUMPUR, 24 Mei – Kerajaan digesa mencari mekanisme yang fleksibel untuk membantu individu yang terperangkap dalam status kebankrapan.
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin berkata, perkara berkenaan boleh dilakukan dengan syarat-syarat dan perjanjian tertentu supaya lebih ramai individu dapat kembali membina kehidupan tanpa dibebani proses pelepasan status bankrap yang terlalu lama.
Tegas beliau, meskipun secara dasarnya pindaan terhadap Seksyen 33B(2A) Akta 360 menambah dua kategori pelepasan bankrap baharu iaitu bagi pesakit mental dan individu berusia 70 tahun, namun penekanan khusus harus diberi untuk membantu individu muflis.
“Ini penting supaya status kebankrapan tidak kekal selamanya, sebaliknya menjadi pembakar semangat kepada golongan ini untuk menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.
Katanya, langkah yang boleh dilakukan ialah mengkaji semula proses pelepasan bankrap bagi warga Malaysia yang bekerja di luar negara, yang mungkin mengambil masa lama untuk mendapatkan perintah mahkamah sebelum memohon keizinan daripada Jabatan Imigresen.
“Kebankrapan adalah satu bentuk hukuman dan bukan satu skim pembayaran semula.
“Sekiranya si bankrap menjalani hukuman pada suatu tempoh tertentu yang sesuai dengan berkelakuan baik, maka seharusnya pelepasannya dari status itu disegerakan tanpa melihat pada nilai atau jumlah hutang am yang difailkan,” katanya.
Beliau pada masa sama turut mempersoalkan keberkesanan kawal selia penyedia kredit dan perkhidmatan kredit bukan bank seperti perkhidmatan Buy Now, Pay Later (BNPL) bagi melindungi pengguna khususnya golongan belia supaya tidak terjerat dengan hutang.
Justeru, beliau berpandangan kerajaan wajarnya meneliti cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengenai had tempoh bayaran pinjaman peribadi dan sewa beli kenderaan supaya dapat dilanjutkan tempoh daripada 10 kepada 20 tahun, bagi meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat. -nasionalkini.my