Oleh Hajidah Miharbi
KUALA LUMPUR 24 Mei – Meskipun lagu terbaharu dendangan Aizat Amdan berjudul Hadiahkan Duka Kepadamu, namun hakikatnya penyanyi itu tersenyum lega.
Ini kerana lagu yang merupakan kerjasama pertamanya dengan komposer Ajai itu mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.
“Setiap kali mahu menghasilkan produk baharu, ada beberapa perkara bermain di fikiran termasuklah pertanyaan, adalah lagu baharu ini akan diterima baik oleh peminat atau tidak.
“Tapi apabila melancarkan sahaja lagu ini pada bulan Ramadan lalu, sambutan yang diterima begitu baik daripada semua pihak. Hilang segala gundah apabila lagu ini mulai disukai oleh peminat dan mula dimainkan oleh stesen radio,” kata Aizat.

Bercerita mengenai kerjasama dengan Ajai pula, Aizat berkata, dia bertemu dengan komposer itu beberapa kali untuk mendengar sendiri lagu berkenaan.
Menariknya, dia sendiri jatuh cinta saat demo lagu berkenaan diperdengarkan kepadanya.
“Memandangkan ini merupakan kali pertama kami bekerjasama, banyak perbincangan dilakukan demi memastikan kelancaran proses rakaman selepas itu.
“Saya cukup teruja memandangkan ini kali pertama kami bekerjasama. Abang Ajai sendiri adalah seorang komposer yang berpengalaman luas dan sudah menghasilkan sejumlah lagu yang banyak.
“Sebagai penyanyi saya mahu sampaikan lagu berkenaan sehabis baik. Sejujurnya saya menjadikan lagu ini buah tangan baharu yang akan diminati oleh pendengar seperti lagu-lagu terdahulu,” tambahnya lagi.

Jejaka kacak yang kini menginjak usia 34 tahun ini beruntung kerana Hadiahkan Duka Kepadamu yang berentak balada ini turut dijadikan runut bunyi untuk drama Kerasnya Takdir yang disiarkan melalui slot Akasia, TV3.
Menariknya, drama lakonan Amira Rosli, Redza Rosli dan ramai lagi itu mendapat sambutan baik dalam kalangan peminat sejak mula ditayangkan beberapa minggu yang lalu.
Bagi Aizat, apabila Hadiahkan Duka Kepadamu menjadi runut bunyi untuk drama, itu memberikan banyak kelebihan untuk produk berkenaan diterima dengan lebih cepat seterusnya menangkap halwa telinga pendengar yang lain.
“Saya gembira apabila orang mula mengetahui lagu ini sedikit demi sedikit. Ada dalam kalangan peminat yang terkejut apabila mengetahui lagu ini dinyanyikan oleh saya.
“Ada yang beranggapan lagu ini dinyanyikan oleh penyanyi baharu dan tak kurang juga yang jatuh cinta kali pertama mendengarkannya. Semua itu memberikan keterujaan kepada saya,” ungkap penyanyi yang popular dengan lagu Hanya Kau Yang Mampu ini lagi.
Hadiahkan Duka Kepadamu merupakan terbitan Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dengan kerjasama Alternate Records dan lagu diedarkan oleh Indigital Music dan boleh ditonton di https://youtu.be/01AzXtfxBp0 -nasionalkini.my