KUALA LUMPUR, 20 Mei – Dakwaan Tan Sri Annuar Musa yang mempunyai lebih 1,000 ahli mengikuti jejak dan berhijrah menyertai PAS hanya propaganda politik semata-mata.
Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman berkata, pihaknya sudah ‘masak’ dengan strategi yang diambil bekas Ketua UMNO bahagian Ketereh itu.
Beliau pada masa sama mencabar Annuar supaya mengajak anaknya sendiri yang juga Ketua Pemuda UMNO Ketereh menyertai PAS sebelum berkempen kepada pihak luar.
“Saya meneliti sidang media beliau sebentar tadi. Bagi saya tidak perlulah bersikap propa dengan sekadar menyebut sahaja angka-angka ahli UMNO yang akan menyertai PAS.
. Kita sudah masak dengan cara beliau ini, orang luar akan melihat, kalau anak kandung sendiri pun tidak meyakini tindakan itu, apatah lagi orang lain.

Bak kata orang Kelantan ‘debek’ (lemah) benar kalau anak sendiri pun tidak ikut perjuangan ayahnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Annuar yang merupakan bekas Ahli Parlimen Ketereh itu mengesahkan menghantar borang permohonan menyertai PAS bulan lalu bersama lebih 1,000 ahli UMNO lain.
Akuinya penghijrahan berkenaan dibuat selepas lebih enam bulan meneliti secara dekat dan mendalam suasana politik negara mutakhir ini.
Bagaimanapun, Zawawi berpandangan, pihaknya tidak menolak kemungkinan penghijrahan Annuar menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) tersebut hanya untuk mencari tapak sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
“ PAS perlu berhati-hati dengan langkah Annuar. UMNO telah masak dengan ragam dan perangai beliau ini.
Silap langkah PAS pula akan terjerat dengan ‘permainan minda’ Annuar,” ujarnya. -nasionalkini.my