Oleh Hajidah Miharbi
KUALA LUMPUR, 31 Mei – Kemelut rumah tangga pelakon Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, dengan pengarah Syamsul Yusof ibarat menonton drama tiada kesudahan.
Malah Puteri Sarah juga mengakui dia sudah letih menghadap masalah tersebut dan mahu menutup kisah silam untuk terus melangkah ke hadapan.
Melalui pelbagai dugaan, membuatkan wanita itu kuat dan adakalanya dia menjadi rujukan golongan hawa yang turut menghadapi masalah sama.
Puteri Sarah mengambil inisiatif membukukan kisah perjalanan hidupnya dalam buku berjudul ‘Puteri Sarah: Terus Melangkah’ yang dilancarkan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung di World Trade Centre, Kuala Lumpur, semalam.
Buku itu adalah karya unik dan istimewa, kerana untuk pertama kalinya keluarga Puteri Sarah Liyana membuka mulut tentang kehidupan dan perjalanan inspiratif wanita hebat ini.
“Sarah berharap buku ini menjadi naskhah panduan istimewa buat semua wanita di luar sana.
“Sebagaimana tajuk buku ‘Puteri Sarah: Terus Melangkah’, Sarah mahu mereka tidak berdiam diri, tidak mengalah, tetapi terus berjuang dan melangkah meneruskan kehidupan seperti Sarah,” katanya.

Buku ini ditulis oleh kawan rapatnya, Emi Anvepa yang juga pengurus peribadinya sejak lima tahun lalu.
Bagi Emi Anvepa, apa yang tercatat dalam buku itu bagaikan luahan isi hati dan melepaskan apa yang terbuku dalam diri sejak mengenali Puteri Sarah.
“Saya berada dengan Puteri Sarah bukan sekadar sebagai pengurus dia, tetapi juga sebagai kawan rapat.
“Saya lihat sendiri pengorbanan, jatuh bangun dan perit jerih Sarah bergelar sebagai seorang anak seni.
“Jadi saya sangat memahami apa yang telah dilalui Puteri Sarah. Saya anggap penulisan buku ini adalah terapi selepas sekian masa menyelami perasaan Puteri Sarah, terutamanya dalam menghadapi masyarakat yang ‘judgemental’,” akui Emi Anvepa.
Turut hadir pada majlis pelancaran adalah Reina Lum selaku editor dari sudut pandangan undang-undang.
Sebagai seorangi ‘Legal Education Advocate’, Reina sering berkongsi isu masyarakat melalui sudut pandangan undang-undang di media sosial terutama TikTok.
Kata Reina, dia teruja bekerjasama dalam penghasilan buku ini dan yakin buku Puteri Sarah ini dapat membantu memperkasa wanita.
“Dalam video di media sosial saya selalu tekankan wanita perlu berani dan bijak dengan melengkapkan diri dengan ilmu kerana dengan ilmu inilah kita membina keyakinan dan keberanian.
“Jadi Puteri Sarah adalah antara contoh terbaik. Saya yakin buku ini boleh menjadi rujukan kepada wanita untuk terus berjuang dan menyedari bahawa walau apapun keadaan dan cabaran kita, jangan mengalah, Selagi kita terus melangkah, kita belum kalah,” ujar Reina.
Buku ‘Puteri Sarah: Terus Melangkah’ ini penuh dengan singkapan peristiwa, tragedi, momen-momen dan saat jatuh bangun Puteri Sarah Liyana dari dulu sehingga sekarang.
Pembaca juga akan menelusuri kisah-kisah yang menginspirasi, perjuangan yang luar biasa, dan momen-momen penting dalam perjalanan hidup Puteri Sarah.
Dengan keberanian dan ketekunan, wanita itu berjaya mengatasi berbagai rintangan dalam hidupnya, menjadi sosok yang mengilhami dan membantu orang lain untuk meraih potensi terbaik mereka.
Buku terbitan, Terbit Sendiri Empire dan Projek Nomad Sdn Bhd, ini sudah dibuka untuk pre-order di laman web puterisarahliyana.com dengan harga promosi RM39.90 bagi 500 naskhah pertama sebelum 31 Mei 2023. Harga asal adalah RM49.90. -nasionalkini.my