KUALA LUMPUR, 31 Mei – Untung bersih FGV Holdings Bhd susut kepada RM12.09 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac lalu daripada RM369.24 juta pada suku yang sama tahun lalu.
Malah, pendapatan syarikat perladangan itu juga menurun kepada RM4.59 bilion daripada RM5.85 bilion sebelum ini, katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Bagi tempoh itu, keuntungan sebelum zakat dan cukai susut mendadak kepada RM59.86 juta bagi suku semasa daripada RM501.06 juta pada suku yang sama tahun lepas apabila kumpulan itu mencatatkan harga purata minyak sawit mentah lebih rendah dan mengalami kerugian dalam sektor gula.
Kumpulan melaporkan keuntungan operasi sebelum perubahan nilai saksama Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dan kemerosotan nilai, sebanyak RM102 juta meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran seperti keadaan pasaran mencabar, margin keuntungan menipis bagi sektor perladangan, serta kos pengeluaran meningkat di sektor gula.
Sektor gula melaporkan kerugian RM24 juta berikutan penurunan hasil tahun ke tahun sebanyak RM588 juta daripada RM593 juta pada tahun sebelumnya, disebabkan pengurangan kadar jualan eksport untuk mengutamakan permintaan jualan tempatan.
Bagaimanpun, sektor logistik mencatatkan keuntungan lebih tinggi berbanding tahun lepas hasil daripada peningkatan pendapatan sewa tangki, minyak premium serta perkhidmatan angkutan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Nazrul Mansor berkata, kumpulan mencatatkan keuntungan bagi suku pertama tahun 2023, meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran seperti penurunan harga pasaran minyak sawit mentah.
“Walaupun FGV menjangka pelbagai cabaran akan ditempuhi sepanjang tahun ini, kami akan terus cekal ke hadapan bagi memenuhi tanggungjawab kami kepada pemegang berkepentingan kami,” katanya.
Mengenai prospek tahun ini, beliau menjangkakan harga minyak sawit mentah kembali stabil dalam tempoh terdekat, iaitu antara RM3,800 hingga RM4,000 satu tan metrik.
Pengeluaran buah tandan segar juga dijangka bertambah baik tahun ini dengan penambahan pekerja asing yang akan memberi kesan positif kepada prestasi operasi FGV.
“Tambahan pula, profil umur sawit FGV kini lebih baik, dengan purata 12.77 tahun dengan 39 peratus kawasan ladang syarikat diklasifikasikan sebagai kawasan matang. Faktor-faktor ini akan meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan FGV dalam industri.
“Namun, kami mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengambil kira keadaan cuaca buruk seperti El Nino yang dijangka melanda pada hujung tahun ini, yang boleh menjejaskan pengeluaran minyak sawit kami,” jelasnya. – nasionalkini.my