KUALA TERENGGANU – Seorang suri rumah, Nor Aziantie Azhar, kini terlantar di kediaman ibunya dekat Kuala Nerus, berikutan penyakit auto imun ‘pemphigus vulgaris’ yang dihidapi hingga menyebabkan seluruh kulitnya melepuh.
Ibu kepada dua anak termasuk seorang bayi itu, adalah balu kepada artis alih suara, Muhammad Aizat Adnan.
Ibunya, Liza Suriani Abdul Rahman, berkata Nor Aziantie mula dikesan mengalami penyakit itu pada Mac lalu selepas menyedari terdapat pembentukan ulser di mulutnya sebelum merebak ke seluruh anggota badan.
“Dua hari sebelum sambutan Aidilfitri lalu, keadaan dia makin serius. Badan dia sudah dipenuhi lepuhan air dan pecah melecur seperti kulit terbakar,” katanya memetik TV3.
Aziyantie sebelum ini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu selama 76 hari dan dibenarkan pulang pada Khamis lalu.
Beliau yang tidak bekerja kini memerlukan jasa orang ramai untuk membeli peralatan cucian luka selain menampung kos pembelian lampin pakai buang, tisu basah dan susu setiap hari.
Hasil perkongsian hidup bersama Allahyarham Muhammad Aizat yang pernah menjadi suara latar bagi animasi popular Kung Fu Panda, mempunyai seorang anak lelaki berusia 6 tahun.
Hasil perkahwinan bersama suami yang baharu, dia mempunyai seorang bayi perempuan berusia 6 bulan.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 512400515982 atau hubungi ibunya di talian 017-916 2993.