Oleh AD Zafir
KUANTAN, 14 Jun – “Sampai sahaja di lokasi kejadian, saya lihat satu jenazah sudah dikeluarkan dam satu lagi masih tersepit… luluh rasa hati bila dapat rasa mereka sudah tiada,” kata Siti Nursyazana Zulkifli, 23, salah seorang adik-beradik kepada dua mangsa kemalangan maut di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran lampu isyarat simpang Felda Lepar Hilir 1, malam tadi.
Mangsa adik-beradik itu dikenali sebagai Siti Mazurah , 30, dan Siti Nur Alia Saffiyah, 18, meninggal dunia selepas kereta jenis Proton Wira dinaiki mereka bertembung dengan lori minyak.
Menurut, Siti Nursyazana, dia mengetahui tentang kejadian tersebut apabila kakak ketiganya memberitahu kakak kedua dan adik bongsunya terlibat dalam satu kemalangan.
“Mulanya saya tidak rasa apa-apa kerana ingat kemalangan biasa sahaja. Namun begitu bila kakak ketiga saya berkongsi gambar keadaan kereta yang remuk teruk, saya mula rasa berdebar dan tidak sedap hati,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah keluarganya di Felda Lepar Hilir 1, dekat sini, hari ini.
Dalam pada itu, kata Nursyazana, selepas kejadian itu, pemandu lori berusia 31 tahun terbabit ada datang bertemu dengannya dan berulang kali meminta maaf.
“Saya tengah nak isi borang diminta pihak polis sebelum saya didatangi seorang lelaki. Saya sangka dia hendak isi borang juga.
Saya tanya dia kenapa? Dia kata ‘saya minta maaf kak’ Bila saya tanya diakah pemandu lori itu. Sekali lagi lelaki itu meminta maaf kepada saya.
“Nak tidak kata hendak berdendam cuma proses untuk memaafkan itu bukan sekarang, saya ada fikir pemandu itu pun muda lagi dan ada anak serta isteri… lagi pun dia tidak lari dan memberi kerjasama dengan pihak polis,” katanya.
Dalam kemalangan kira-kira jam 11 malam itu, lori tangki itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta jenis Proton Wira dinaiki dua beradik itu. – nasionalkini.my