KLANG, 19 Ogos – Jenazah pertama mangsa nahas pesawat di Elmina, Shah Alam dituntut ahli keluarganya pada jam 9.30 pagi tadi.
Jenazah Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, dibawa ke Masjid Al Rahimiah di sini untuk disolatkan sebelum dibawa pulang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Huda, Kampung Jerong, Sungai Petani, Kedah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata mayat pertama yang dikenal pasti itu adalah Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, seorang penunggang p-hailing.
“Kita serahkan jenazah kepada waris iaitu bapa Allahyarham dan jenazah akan diuruskan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
“Polis juga akan mengaturkan perjalanan van jenazah.
“Jenazah akan dibawa ke Masjid Al Rahimiah untuk disolatkan sebelum ke Sungai Petani, Kedah seperti mana kehendak keluarga.
“Seluruh petugas, PDRM dan petugas kesihatan mengucapkan takziah kepada keluarga Allayarham,” katanya pada sidang media di Hospital Tunku Ampuan Rahimah (HTAR) hari ini, lapor BH.
Terdahulu waris dan keluarga Allahyarham Muhamad Hafiz dilihat tiba di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tunku Ampuan Rahimah (HTAR) jam 8.15 pagi tadi.
Muhamad Hafiz adalah antara 10 yang terkorban dalam nahas pesawat Beechcraft dari Langkawi yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam jam 2.48 petang kira-kira dua minit sebelum mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS), Subang.
Lapan penumpang dalam pesawat itu turut terkorban termasuk EXCO Pahang selain seorang lagi orang awam iaitu pemandu Grab berusia 53 tahun.- nasionalkini.my