Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 14 Mei – Kegembiraan ribuan hadirin yang hadir menyaksikan persembahan sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023 Peringkat Kebangsaan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini tiba-tiba bertukar hiba.
Hadirin yang hadir hiba apabila bermulanya persembahan sajak yang melakonkan semula beberapa insiden anggota ‘Wira Merah’ yang terkorban ketika menjalankan tugas beberapa tahun lalu.
Antaranya, termasuklah kejadian mengorbankan Pegawai Bomba Kanan (PBK) ll Mohd. Diya Che Jusoh, 46, yang meninggal dunia selepas ditolak arus deras ketika menjalankan kerja memasang tali untuk menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Sungai Putat di sini 20 Oktober 2021.
Perasaan sedih tidak dapat disembunyikan hadirin apabila dua anak arwah, Muhamad Danish Hakim, 14, dan Nurul Anisah Ilya, 11, dipanggil ke pentas utama menerima dua peralatan penyelamatan terakhir dipakai bapanya itu.
Peralatan topi dan jaket keselamatan itu disampaikan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam sambil diperhatikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming.
Balunya, Noraida Che Noh, 41, ketika ditemui pemberita berkata, tragedi pahit itu masih segar diingatannya dan empat anak mereka anak bongsunya, Nurul Anisah walaupun sudah dua tahun berlalu.
“Kami reda dengan takdir ini dan amat mat berterima kasih kepada JBPM kerana tidak putus-putus menghulurkan segala bantuan diperlukan terutamanya dalam soal pendidikan anak-anak.
“Persembahan hari ini benar-benar menyentuh perasaan lebih-lebih lagi diberikan topi dan jaket keselamatan yang dipakai Allahyarham ketika kejadian itu,” katanya hiba.
Tambahnya, sebagai anak bongsu, Nurul Anisah paling terkesan kerana sangat manja dengan arwah.
“Kami amat berterima kasih dan bersyukur kerana pengorbanan demi tugas dilakukan arwah sentiasa dikenang dan mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan,” katanya. – nasionalkini.my