Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 20 Jun – Tahan lapar selama 12 jam hanya beralaskan secawan kopi O sambil bersengkang mata mengupas jagung pada pukul 2 pagi untuk membeli susu anak-anak yang masih kecil.
Itu pengorbanan mualaf, Maria Abdullah, 41 yang kehilangan tempat bergantung hidup selepas suaminya, warga Bangladesh dihantar pulang ke negara asal tahun lalu.
Sejak itu, wanita yang memeluk Islam lebih lapan tahun lalu itu mengambil upah mengupas jagung pada kadar 90 sen sekilogram.
Upah itu membolehkannya meraih pendapatan antara RM200 hingga RM700 sebulan, bergantung kepada berat jagung dikupas.
Namun, hidupnya sekali lagi diuji apabila satu-satunya pekerjaan yang mampu dilakukannya di rumah itu tidak lagi menjadi sumber pendapatan sejak tiga hari lalu apabila majikan tidak dapat menghantar jagung ke tingkat dua rumah pangsa yang baharu didiami.
Rumah pangsa berkenaan yang didiami sejak Ahad lalu adalah hasil inisiatif Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) kerana sebelum ini Maria dan anak-anaknya tinggal di rumah teres disewa majikan bersama pekerja lelaki lain.
“Sekarang ini saya bingung memikirkan bagaimana untuk menyara makan minum anak-anak yang masih kecil.
“Mereka berusia 1, 6 dan 8 tahun dan dalam keadaan saya tidak mampu keluar bekerja kerana perlu menjaga mereka di rumah.
“Dulu, waktu ada kerja pun saya sering minum kopi sahaja untuk alas perut dan makan nasi pada lewat petang untuk berjimat kerana perlu mendahulukan susu anak,” katanya ketika ditemui media di Rumah Pangsa Taman Merdeka, Batu Berendam di sini.
Menurut Maria, disebabkan kekangan wang, dia juga tidak mampu menghantar anak sulungnya berusia 8 tahun ke sekolah walaupun kesemua anaknya mempunyai dokumen warganegara Malaysia.
“Macamana saya nak hantar anak ke sekolah, nak bayar yuran pun tak ada duit, nak isi borang-borang sekolah, bantuan pun saya tak reti kerana tidak tahu membaca dan menulis.
“Sebab itu saya merayu kepada pihak berkenaan agar dapat membantu saya mendapatkan kerja supaya saya dapat memberikan makan minum dan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak,” katanya sambil mengesat air mata.
Sementara itu, ujian hidup dihadapi Maria turut mendapat perhatian Presiden Persatuan Sukarelawan Bencana Melaka (PSBM), Ashwad Abd Rahim dan usahawan dari Selangor, K Ganesan yang berjanji untuk membantu empat beranak itu.
“Sebenarnya, tugas membantu masyarakat ini bukanlah terletak di bahu kerajaan semata-mata sebab itu hari ini kami tampil untuk membantu atas dasar kemanusiaan tanpa mengira latar belakang penerima.
“InsyaAllah selain bantuan makanan dan wang tunai yang diberikan secara one-off ini, kami akan cuba memastikan anak sulung ibu cekal ini dapat bersekolah untuk mengubah nasib keluarga pada masa hadapan,” katanya. – nasionalkini.my