in

Ibu bapa dakwa YDP PIBG pecah amanah

IMG 20230620 WA0011
Sebahagian ibu bapa yang hadir ke balai polis Paloh Hinai, dekat Pekan, semalam untuk membuat tindakan lanjut susulan tidak mendapat penjelasan sewajarnya daripada pihak guru besar dan Yang Dipertua PIBG

Oleh AD Zafir

KUANTAN, 20 Jun – Sebahagian ibu bapa yang juga ahli Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) di sebuah sekolah di Paloh Hinai, dekat Pekan, mendesak agar yang dipertua (YDP) persatuan itu menjelaskan butiran perbelanjaan yang telah digunakan.

Wang sebanyak RM30,000 hasil sumbangan ahli PIBG itu dipercayai tidak dibelanjakan untuk meningkatkan kecemerlangan pelajar sekolah tapi digunakan untuk tujuan lain.

Susulan itu, hampir kesemua ibu bapa sekolah terbabit tidak berpuas hati berikutan hanya baki lebih kurang RM2,000 sahaja dibentangkan kewangan pada mesyuarat PIBG, 15 Jun lalu.

Wakil ibu bapa, Arida Nasir, 43, berkata, mereka dimaklumkan sekitar RM28,000 dibelanjakan untuk penambahbaikan peralatan dan keceriaan sekolah.

Menurutnya, jumlah yang dinyatakan dilihat tidak berpadanan dengan perubahan yang dibawa dan tidak mendatangkan kebaikan ke arah kecemerlangan pelajar.

IMG 20230620 WA0012
Wakil ibu bapa, Arida Nasir

“Mengikut apa yang diberitahu, memang wang digunakan untuk keceriaan sekolah seperti beli mesin pencetak, baik pulih pintu kantin, gazebo dan banyak lagi.

“Namun kami rasa ia tidak wajar memandangkan duit PIBG sebanyak itu digunakan untuk tujuan itu sahaja.

“Harga yang dilampirkan untuk tujuan pembelian barangan juga tidak masuk akal.

“Sepatutnya sebagai YDP, beliau perlu mendapatkan dana lain bagi kegunaan keceriaan sekolah, sama ada memohon dengan Pegawai Tadbir Daerah (PTD), wakil rakyat setempat atau yang lain-lain,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Polis Paloh Hinai, di sini, petang semalam.

Mereka hadir ke balai polis untuk tujuan membuat laporan atas salah laku tersebut, namun atas nasihat diberikan, mereka digalakkan melakukan perbincangan lanjut bagi menyelesaikan masalah itu.

Dalam pada itu, katanya lagi, perkara berkenaan penjelasan berkaitan perbelanjaan itu telah diusulkan dalam mesyuarat PIBG 15 Jun lepas, namun YDP dan guru besar tidak mengendahkan perkara tersebut.

Jelasnya lagi, malahan tindakan mereka telah menimbulkan suasana tegang apabila bertindak menangguhkan mesyuarat dan meninggalkan majlis dengan segera.

“Masa mesyuarat kami tanya hal ini dan minta bukti. Tapi kami tak dapat penjelasan yang sebetulnya.

“Kalau lihat pada perbelanjaan dikeluarkan berbanding dengan apa yang telah dilakukan, memang tidak setimpal, sehinggalah kami ibu bapa pula terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membiayai perbelanjaan anak-anak yang mewakili sekolah bagi aktiviti sukan dan lain-lain, sedangkan ia sepatutnya boleh dimanfaatkan dari wang PIBG.

“Jadi kami sepakat untuk bubar PIBG itu dan memohon untuk pelantikan YDP baharu kerana merasakan ada beberapa perkara menjadikannya tidak layak untuk memegang jawatan itu.

“Jadi kita tunggu jawapan seterusnya daripada Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) atau Pengarah Jabatan Pelajaran (JPN),” katanya.

Rakaman video yang tular di laman sosial Facebook Warga Kuantan Official

Sebelum ini, tular sebuah klip video memaparkan sekumpulan ibu bapa memasang banting di hadapan sekolah menggesa agar Guru Besar sekolah berkenaan ditukar kerana tidak berpuas hati berkaitan pengurusan wang PIBG sekolah.

Video berdurasi 25 minit itu, memaparkan desakan meminta agar guru besar sekolah itu dipindahkan kerana tidak berpuas hati dengan peranannya di sekolah terbabit, malahan ibu bapa turut mendakwa mereka tidak diberikan ruang untuk bersuara di dalam mesyuarat agung PIBG yang dijalankan.

Malahan di ruangan komen pula, rata-rata pengguna laman sosial menyarankan agar kedua pihak sama ada ibu bapa atau pihak sekolah berbincang terlebih dahulu untuk mencari jalan penyelesaian.

Difahamkan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan telah dimaklumkan berkaitan isu yang tular ini dan tindakan lanjut segara telah diambil.

Seorang lagi wakil ibu bapa, Mohd Khairil Hisyam Zainal Abidin, 35, berkata, guru besar dan YDP dianggap tidak profesional dalam menangani isu tersebut.

IMG 20230620 WA0013
Wakil ibu bapa, Mohd Khairil Hisyam Zainal Abidin

Katanya, tindakan mereka itu mengecewakan ibu bapa di sekolah berkenaan.

“Bila kami bertanya pasal duit tu, pada ketika itu kita Hanya nak tahu resit dengan invois sahaja. Kenapa sampai meninggalkan mesyuarat begitu sahaja?.

“Tindakan kedua-duanya menolak untuk menjawab dan tangguhkan mesyuarat adalah perkara yang tidak seharusnya berlaku.

“Sedangkan kami (ibu bapa) meluangkan masa menghadiri mesyuarat dan mengorbakan wang ringgit untuk membantu pihak sekolah meningkatkan kecemerlangan pelajar-pelajar,” katanya.

Dalam pada itu juga, seorang lagi wakil, Nurul Hasna Othman, 33, berkata, sebagai ibu bapa yang baharu menempatkan anak di sekolah berkenaan, melihat perbelanjaan wang dikeluarkan pihak PIBG di sekolah terbabit adalah berbeza dengan sekolah-sekolah lain.

Jelasnya, perbelanjaan yang dikeluarkan tidak setimpal dengan apa yang dianjurkan dengan aktiviti yang tidak sama seperti sekolah lain.

“Kami tidak menuduh sama ada YDP atau guru besar, tapi apa impaknya perbelanjaan yang dikeluarkan kepada kecemerlangan pelajar?.

“Kalau ada perubahan, kami perlukan bukti yang jelas tentang apa yang dilakukan. Nampak kabur. Contoh buat gazebo, tapi masih tidak selesai sampai sekarang. Hendak dibaikpulih atau hendak dibuat baru?.

“Saya difahamkan masalah terbabit mula timbul sekitar tahun ini sejak YDP itu menyandang jawatan tersebut dan guru besar terbabit pula baru berkhidmat di sekolah itu sekitar setahun lalu,” katanya. – nasionalkini.my

IMG 20230620 WA0001

Tahan lapar untuk beli susu anak

Pemandu lori mengaku tak bersalah punca kemalangan maut