in

Ekspresi diri melalui No Nine To Five

“Tidak ada istilah salah atau betul apabila kita menikmati kopi”

Itu antara kata-kata Nik Khai Wern, 26 tahun ketika ditemui wakil nasionalkini.my di Le Lodge Mansion, Air Putih, Kuantan, baru-baru ini.

Nik adalah pengasas ‘No Nine To Five’ yang mencipta kelainan – berniaga kopi secara bergerak menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Pengasas No Nine To Five, Nik Khai Wern

Dia yang berasal dari Kuala Lumpur, singgah di Kuantan hujung minggu lalu, sebelum meneruskan perjalanan ke Terengganu dan Kelantan.

“Saya suka ‘camping’ dan pada masa sama, saya juga peminat kopi.

“Jadi saya gabungkan keduanya, sambil saya boleh teruskan minat untuk ‘camping’, saya boleh cari duit dengan menjual kopi,” katanya yang dibantu teman wanitanya sepanjang pengembaraan itu.

Nik memulakan perjalanan sejak awal tahun ini dan menjadikan Langkawi, Kedah sebagai destinasi pertama.

No Nine To Five beroperasi menggunakan kenderaan pacuan empat roda

Selepas itu dia ke selatan tanah air sebelum memilih Kuantan sebagai antara lokasi persinggahannya.

“Minuman kopi sudah menjadi gaya hidup di Malaysia, banyak kedai kopi berkonsepkan hipster dibuka di sana sini.

“Kebetulan pula saya ada belajar cara bru kopi daripada kenalan, jadi saya fikir baik teruskan (berniaga) dengan gaya seperti ini.

“Tidak perlu buka kedai, cuma beli mesin bersesuaian, pasang dan letak dalam kereta, saya boleh berniaga di mana-mana,” katanya lagi.

Dia memaklumkan sangat memilih bahan untuk menghasilkan kopi dan sanggup memesan daripada pembekal yang sama, walaupun dia berada di luar Lembah Klang.

No Nine To Five signature

“Kualiti sangat penting, biasanya kalau stok biji kopi berkurangan dan ketika itu saya berada di Kuantan atau Terengganu, saya sanggup tidak berniaga selagi pesanan (biji kopi) tak sampai.

“Jadi saya sentiasa periksa stok, kalau kurang saya terus telefon pembekal dan minta mereka pos ke tempat saya berada ketika itu,” katanya.

Ditanya kenapa dia memilih nama ‘No Nine To Five’, Nik berkata ia disebabkan nama itu merujuk kepada waktu kerja pejabat.

“Saya tidak suka terikat, suka cari makan sendiri, tak minat kerja ikut waktu pejabat.

“Sekarang saya boleh buat kerja ikut masa saya tetapkan, kalau saya nak buka kedai jam berapa pun itu terpulang kepada saya sendiri,” katanya lagi.

No Nine To Five dalam perjalanan menjelajah Pantai Timur Semenanjung

‘No Nine To Five’ akan berada di sekitar Cherating, Pahang sehingga hujung bulan ini sebelum bergerak ke Terengganu.

“Saya nak ke Pulau Redang selepas ini, nak ambil lesen ‘scuba diving’ dan kemudian ke Kelantan.

“Kalau boleh nak pusing seluruh negara, Sabah dan Sarawak, tapi kena tengok dulu keadaan kenderaan yang saya guna sekarang.

“Kalau semuanya OK, mungkin lepas ini saya boleh bawa jenama ‘No Nine To Five’ ke luar negara,” ujarnya. – nasionalkini.my

quran

Iran umum tidak hantar duta ke Sweden sebagai protes tindakan keji bakar al-Quran

Syarat lebih mudah beli rumah kos rendah