in ,

Video kes anak mualaf yang tular, bukan prosiding Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan

868c937da17caa9b499414bbd847825b.jpgs800 1

OLEH: Arman Dhani Zafir

KUANTAN, 31 Mei – Pertubuhan Peguam Syarie Negeri Pahang menegaskan video membabitkan seorang anak mualaf yang tular di media sosial sejak 26 Mei lalu, tidak melibatkan prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan.

Pengerusi PPSNP, Mohd Rosli Yusoff berkata, kes tersebut merupakan prosiding dilakukan di Mahkamah Tinggi Kuantan.

Menurutnya, orang ramai mula keliru dengan perkara tersebut.

“Saya tegaskan perkara ini memandangkan terdapat kekeliruan dalam kalangan orang ramai yang menyangka kes ini berlaku di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan.

“Oleh kerana ibu kanak-kanak tersebut diwakili oleh peguam, pihak kami percaya bahawa peguam tersebut telah dan akan mengambil langkah- langkah yang sewajarnya bagi menjamin kepentingan, hak ibu serta kanak-kanak tersebut.” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Rosli berkata, masyarakat amnya tidak perlu membuat sebarang bentuk tohmahan, komen dan spekulasi negatif yang tidak berasas terhadap institusi kehakiman dan perundangan dalam negara ini sama ada sivil mahupun syariah.

“Orang ramai diharap dapat berlapang dada dengan perkara ini dan menghormati proses sistem kehakiman dan undang-undang di negara ini,” katanya.

Terdahulu, terdapat laporan mengenai rakaman seorang ibu dan anak yang berusia sembilan tahun terpaksa berpisah setelah Mahkamah Tinggi Kuantan memutuskan hak penjagaan kanak-kanak itu diserahkan kepada bapanya.

Rakaman berdurasi 49 saat tular di Facebook itu, menyiarkan kanak-kanak terbabit merangkul erat tubuh ibunya sambil menangis teresak-esak sebelum mengikuti bapanya.

-ends-

Alunan al-Quran bantu Sakinah tenang

IMG 20230531 163416

Kerajaan Pahang lulus peruntukan RM25,000 untuk surau di Mesir