Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 23 Jun – Hasrat lapan pembeli rumah mendiami rumah idaman tahun ini berkecai apabila menjadi mangsa penipuan sindiket kontraktor didalangi seorang lelaki yang juga bekas calon kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU15) tahun lalu.
Perkara itu didedahkan mangsa selepas rumah yang sepatutnya siap tahun ini gagal dibina malah sekadar tapak rumah diratakan walaupun sudah membayar hampir RM250,000.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Che Din, 50, berkata episod hitam itu bermula apabila dia melihat tawaran membina rumah banglo mewah pada harga RM585,000 diiklankan di Facebook pada April tahun lalu oleh sebuah syarikat berpejabat di Batu Berendam di sini.
“Pada awalnya, semua berjalan lancar sehinggalah saya melunaskan bayaran RM15,000 bagi tujuan dokumentasi dan pelan di tapak projek banglo di Muar, Johor pada 29 Julai tahun lalu dan menandatangani surat perjanjian kontrak pembinaan.
“Saya mula berasa tertipu selepas didesak membayar RM230,000 sebulan kemudian untuk mengelakkan kenaikan kos binaan dan selepas bayaran dibuat, pihak syarikat itu hanya menolak tanah di kawasan tapak binaan untuk mengaburi mata saya.
“Selepas itu, pelbagai alasan diberi termasuklah pengarah projeknya sedang sibuk berkempen pada PRU15 atas tiket calon bebas bagi kerusi Parlimen di Sabah namun sehingga kini mereka gagal dihubungi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Seorang lagi mangsa, Ahmad Fuad, 38, berkata,dia kerugian RM15,000 selepas melunaskan yuran khidmat pelan binaan rumah yang gagal disiapkan dalam tempoh tiga bulan seperti dijanjikan.
“Namun selepas tiga bulan membuat bayaran RM15,000, pegawai pemasaran syarikat itu masih gagal mengemukakan sebarang perkembangan sehingga November lalu.
“Ketika itu, saya mula berasa ditipu sehinggalah pada Januari lalu saya dihubungi tujuh lagi mangsa syarikat sama mendakwa telah ditipu membabitkan kerugian keseluruhan dianggarkan berjumlah RM1.8 juta,” katanya.
Tambahnya, setakat hari ini, dia dan Che Din sudah membuat laporan polis di Balai Polis Batu Berendam semalam dan berharap lebih ramai mangsa lain tampil melaporkan kejadian bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa penipuan sindiket itu. – nasionalkini.my