KUANTAN, 7 Ogos – Kemalangan jalan raya pada September 2016 tidak pernah mematahkan semangat Nurul Hasrina Adnan mengejar impiannya melanjutkan pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Dia yang kini berusia 22 tahun, kehilangan kaki kanan akibat kemalangan itu.
Nurul Hasrina juga pernah menjalani 11 pembedahan berikutan insiden yang turut membabitkan kawannya di Taman Seri Mahkota, dekat sini, kira-kira tujuh tahun lalu.
Ibunya, Zakiah Waly Ahmad, 60 tahun, kini menghidap penyakit diabetes, penyakit saraf dan darah tinggi sejak dua tahun lalu.
Anak bongsu daripada enam beradik itu sangat rapat dengan bapanya, Adnan Saari yang juga seorang pesara kerajaan, mendapat tawaran untuk proses temuduga pengajian di Universiti Islam Antrabangsa Malaysia (UIAM), Oktober ini.
“Teruja juga kerana inilah cita-cita saya sejak dulu, ingin belajar di IPT.
“Panggilan temuduga dari UIAM memang saya sambut dengan penuh perasaan syukur kerana UIAM sangat dikenali sebagai IPT yang mesra orang kurang upaya (OKU) seperti saya,” katanya ketika ditemui wakil nasionalkini.my baru-baru ini.
Nurul Hasrina bercita-cita untuk menjadi seorang kaunselor apabila menamatkan pengajiannya kelak.
Dia memohon untuk mengikuti pengajian di Kuliah Pendidikan UIAM dan ia adalah bidang kursus yang boleh membuka laluan kepadanya mengejar cita-citanya itu.
Dia kini menggunakan tongkat untuk melakukan rutin harian.
“Semua kejayaan saya sejak sekolah menengah adalah berkat doa ibu bapa saya.
“Kesabaran mereka menjaga saya selama ini menjadi pembakar semangat untuk saya terus berjaya dalam pelajaran dan mengejar impian saya,” katanya lagi.
Dia berharap diberi peluang melanjutkan pengajian di IPT untuk memberi nilai tambah kepada dirinya, selain meningkatkan lagi keyakinan diri untuk menyumbang kepada masyarakat.
“Saya percaya apa yang berlaku ini semuanya ada hikmah dan perancangan yang Allah sudah tetapkan untuk saya,” katanya. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN
https://www.nasionalkini.my/rencana/siapa-sebenarnya-oku-di-jalan-raya/