in

Siapa sebenarnya OKU di jalan raya?

Gambar hiasan

SUDAH menjadi kebiasaan apabila kita berada di jalan raya, pasti akan bertembung dengan sikap pemandu yang pelbagai.

Tidak kiralah sama ada mereka itu menunggang motosikal, memandu kereta atau kenderaan roda empat atau lebih, disiplin ketika membawa kenderaan selalunya sukar dijangka.

Ada yang terlalu berhati-hati dan tidak kurang juga yang sangat cuai.

Kajian sebelum ini pernah mendedahkan, bukan sedikit rakyat Malaysia yang berubah personaliti mereka apabila di jalan raya.

Segelintir pengguna menjadikan jalan raya seperti litar lumba – Gambar hiasan

Itu belum lagi dikira dengan segelintir yang menukar jalan raya menjadi litar lumba.

Dan sebagai pemandu berstatus orang kurang upaya (OKU) sejak lebih 20 tahun, semua ini saya lihat masih tidak berubah.

Seingat saya, tidak pernah lagi saya melanggar peraturan jalan raya sejak mula mendapat lesen yang sah daripada Jabatan Pengangkutan Jalan.

Sebaliknya jika ada kemalangan, dengan cepat orang akan melabelkan pemandu itu ‘OKU’ sedangkan dalam banyak kejadian, bukanlah OKU yang terbabit dalam kemalangan itu.

OKU juga faham peraturan lalu lintas

Saya lihat benda ini berlaku kerana persepsi orang ramai dan pertimbangan akal mereka gagal dikawal dengan baik.

Suka saya kongsi bahawa kami tidak pernah minta dilahirkan sebagai OKU, sama ada sejak dilahirkan atau sebaliknya.

Tapi, apabila terdengar orang bercakap dan melabelkan pemandu kurang berdisiplin sebagai OKU, itu sebenarnya tidak adil.

Beberapa kali apabila berlaku kecelakaan di jalan raya, ramai orang akan membuat andaian kurang tepat.

“Ini mesti ada kad OKU”
“Gerenti mesti lepas, sebab ada ‘lesen’ OKU”

Jangan sesuka hati melabel pesalah jalan raya sebagai OKU – Gambar hiasan

Dan macam-macam lagi ayat digunakan, sama ada melalui lisan atau penulisan di media sosial.

Kami juga ada perasaan, ada hati dan ada keluarga yang membaca atau mendengar komen ‘nakal’ seperti itu.

Tidak cukup dengan ayat dan tuduhan seperti itu, ada juga yang menggunakan ayat “mesti OKU otak ni yang jadi punca kemalangan”.

Adakah semua kemalangan yang berlaku disebabkan pemandu OKU atau kesilapan OKU?

Mohd Huzaire Ahmad

Saya tidak ada statistik lengkap berkaitan kes kemalangan di negara ini, tapi saya fikir, jika ada pun, mungkin tidak lebih 10 peratus sahaja OKU yang menjadi punca kemalangan di Malaysia.

Jadi, saya cuma harap agar kita semua dapat perbetulkan pertimbangan fikiran dan tidak sesuka hati melabel setiap benda dengan menyalahgunakan perkataan OKU itu sendiri.

Hormati perasaan kami seperti mana kami sentiasa menjaga dan menghormati anda yang dikurniakan nikmat sebagai insan normal oleh Tuhan.- nasionalkini.my


Mohd Huzaire Ahmad adalah seorang guru OKU dan Ahli Lembaga Koperasi OKU Pahang Berhad

tarmizei ismail

Diuji ketika di puncak kejayaan tidak patahkan semangat Tarmizie Ismail kembali bangkit

WhatsApp Image 2023 07 22 at 12.14.18 PM

Rumah abang wartawan MHI tinggal abu