in

Guna kerusi roda bantu pelajar teroka dunia

Andak Hamdan bersama pelajar yang mengikuti kem Briged Remaja Bestari

KUANTAN, 27 Ogos – Bagi Hamdan Mohamad Jadi, usaha untuk membantu anak-anak desa mengejar impian mereka adalah satu kemestian.

Dia yang kini berusia 45 tahun tidak menjadikan kekurangan dimiliki sebagai penghalang usaha murni itu.

Hamdan atau lebih dikenali dengan panggilan Andak Hamdan dilahirkan normal, sehinggalah lumpuh separuh badan kira-kira 25 tahun lalu.

“Ia berpunca akibat terjatuh dari pokok, tulang belakang saya patah.

“Sejak itu saya disahkan lumpuh separuh badan atau dipanggil ‘paraplegia’ dan menggunakan kerusi roda untuk urusan harian,” katanya kepada wakil nasionalkini.my baru-baru ini.

Hamdan Mohamad Jadi turut aktif memberikan ceramah motivasi kepada pelajar sekolah

Hamdan tetap aktif berpersatuan walaupun dia kini berstatus orang kurang upaya (OKU).

Dia adalah ahli jawatankuasa Persatuan Spinal Pantai Timur (PSPT) dan ahli lembaga Koperasi OKU Pahang Berhad (KOKUP).

Hamdan juga sering menjadi penceramah motivasi jemputan, selain turut mengajar pelajar melalui kelas tuisyen.

“Macam kelas tuisyen itu, saya ambil inisiatif untuk membantu lebih ramai pelajar luar bandar yang masih ketinggalan dalam pelajaran.

“Antara mata pelajaran yang saya ajar adalah matematik dan kemahiran bahasa,” katanya lagi.

Dia juga menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) dinamakan Briged Remaja Bestari.

Andak Hamdan dan rakan atlet Para SUKMA Pahang 2022 bersama Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

Melalui NGO itu, dia mengumpulkan pelajar untuk aktiviti kemasyarakatan dan aktiviti akademik untuk pembinaan jati diri pelajar berkenaan.

“Semua ini saya lakukan untuk membantu lebih ramai anak-anak (pelajar) luar bandar melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya.- nasionalkini.my

Ahli BN perlu undi PH di Johor

Sri Pahang belasah Kelantan United