KUANTAN, 29 Ogos – Senator Isaiah D Jacob mengakui berdepan tugas sukar untuk menyatukan semua pertubuhan mewakili golongan istimewa di negara ini.
Beliau yang dilantik sebagai senator mewakili orang kurang upaya (OKU) di Dewan Negara pada Mac lalu, bagaimanapun yakin perkara itu tidak mustahil untuk dilakukan.
“Apabila saya mengangkat sumpah (sebagai senator), antara pesanan utama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah untuk saya satukan semua persatuan mewakili OKU yang ada di Malaysia.
“Saya fikir ini tugas berat, tetapi menjadi satu amanah kepada saya untuk dilaksanakan.
“Jadi, saya perlukan masa dan sokongan semua pihak dalam hal ini, kerana saya percaya kalau semua OKU boleh bersepakat, kita akan menjadi lebih kuat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Isaiah sebelum itu mengadakan pertemuan tertutup bersama OKU dari Pahang di KOSMA Business Hotel, Jalan Tun Ismail.
Beliau turut mendengar taklimat berkaitan Koperasi OKU Pahang Berhad (KOKUP) oleh wakil koperasi itu, Huzaire Ahmad.
Selain menghadiri perjumpaan bersama OKU dan mesyuarat KOKUP, Isaiah juga meluangkan masa mengunjungi kediaman dua OKU di Jalan Kuantan-Gambang.- nasionalkini.my