Oleh Mohammad Ishak
JERTIH, 15 Julai – Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Daerah Besut, menganjurkan kursus pengurusan jenazah kepada 60 ahli mereka, hari ini.
Kursus itu diadakan di Masjid Kampung Alur Lintang, dekat sini.
Pengerusinya, Abdul Rashid Awang berkata, kursus itu adalah bagi memberikan pemahaman kepada peserta mengenai kaedah dan cara pengurusan jenazah yang lebih sempurna.
“Melalui kursus ini juga dapat membentuk pasukan yang boleh menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah secara percuma, khususnya kepada golongan asnaf yang memerlukan,” katanya.
Kursus itu mendapat kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Terengganu.
Peserta kursus didedahkan cara memandikan jenazah yang betul oleh juru mandi jenazah terkenal di Besut, Muda Ahmad.
Sementara itu, Pengarah YADIM Terengganu, Nasrul Hadi Saidin berkata, pihaknya sentiasa membuka ruang kepada NGO Islam di negeri ini yang ingin menganjurkan program berasaskan keagamaan.- nasionalkini.my