KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Sembilan jenazah mangsa nahas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, Khamis lalu akan dikebumikan di lokasi berasingan sekitar Lembah Klang, selain Pahang dan Perak.
Menurut senarai dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), enam daripada jenazah akan dikebumikan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Ini termasuk Exco Kerajaan Pahang, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah di Batu Caves, dekat sini.
Juruterbang dan pembantunya, Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim pula masing-masing akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate di Gombak serta Tanah Perkuburan Islam Presint 20 Putrajaya.
Sementara itu, pemandu e-hailing, Sharipudin Shaari yang turut terkorban dalam nahas itu dijadual dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Salak Tinggi di Sepang.
Penumpang pesawat, Mohammad Naim Fawwas Mohamed Muaidi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan di Kajang manakala Muhammad Taufik Mohd Zaki di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Kuala Lumpur.

Dua lagi penumpang, Khairil Azwan Jamaludin dijadualkan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Felda Mempaga 1, manakala Idris Abdul Talib @ Ramali di Tanah Perkuburan Islam Barak Bentong, Pahang.
Shaharul Amir Omar yang juga penumpang pesawat malang itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Manjong, Perak, lapor BH.
Terdahulu, semua jenazah dituntut wakil serta waris masing-masing di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) sebelum pengurusan jenazah diambil alih JAIS.
Van jenazah terakhir meninggalkan Jabatan Forensik HTAR adalah yang membawa Heikal Aras pada jam 11.35 pagi tadi.
JAIS melakukan proses pengurusan dan solat jenazah di Masjid Jamek Ar-Rahimiah yang terletak kira-kira 500 meter dari HTAR.
Semalam, jenazah pertama yang dibenar dituntut iaitu Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, disolatkan di Masjid Jamek Ar-Rahimiah, sebelum dibawa pulang ke Kampung Jerong, Sungai Petani, Kedah.- nasionalkini.my