Oleh Aqeelah Amzar
FILEM pendek ‘Bungkam’ mendapat tempat kelima daripada 10 filem pendek terbaik di Hotel Conrad Beijing, China, baru-baru ini.
Pemilihan itu dibuat pada pertandingan filem pendek ‘Scam Prevention’ anjuran SunStrong Entertainment Malaysia and Horizon Corporate Volunteer Consultancy China.
Sebanyak 20 pemenang iaitu 10 kategori terbuka dan 10 kategori pelajar, terpilih daripada 88 penyertaan dari seluruh dunia.
Pertandingan itu menawarkan hadiah bernilai US$128,000 atau sekitar RM590,656.
Penulis skrip ‘Bungkam’ yang juga Pengarah Kreatif dari Creative Seven Legacy (CSL), Marini Mat Zain berkata, dia tidak menyangka karya bersama rakan sepasukannya itu tersenarai sebagai 10 terbaik untuk filem pendek kategori terbuka.
“Penyertaan kami dibuat di saat akhir dan ini adalah filem pendek pertama yang saya tulis.
“Ketika menerima berita ini, saya sangat berbesar hati dan kejayaan ini perlu dinikmati bersama-sama dengan pasukan produksi,” ujarnya.
Katanya, jalan cerita ‘Bungkam’ ditulis pada bulan April 2022 bersama pasukan CSL; Pengarah Pemasaran, Anne Dalissa Ariff dan Pengarah Fotografi, Sakai Young untuk penyertaan filem pendek tempatan.
Malangnya, hasil karya itu ditolak di peringkat saringan sinopsis.
Filem pendek itu pernah ditolak dalam pertandingan tempatan
Apabila filem pendek yang sama dihantar ke pertandingan di luar negara dan mendapat tempat dan diiktraf di Beijing, ia menjadi kejayaan sangat bermakna buat mereka.
“Filem ini asalnya kisah seorang wanita mengalami sakit mental akibat penipuan asmara atau ‘love scam’.
“Disebabkan durasi filem ini terhad, jalan ceritanya ringkas dan diperkemaskan mengikut tema pertandingan.
“Kisah ‘love scam’ dipaparkan menerusi filem pendek ini diharap dapat mencegah wanita daripada terpedaya dengan lelaki yang dikenali melalui telefon atau media sosial,” katanya lagi.
Mangsa bukan hanya kehilangan wang ringgit, tetapi akibat lebih besar adalah gangguan emosi untuk tempoh yang panjang.
Para juri juga sependapat karya dipertandingkan sangat kreatif walaupun dalam keterbatasan waktu.
Pengasas SunStrong Entertaiment, Jment Lim, secara peribadi mengakui tertarik dengan filem pendek itu sejak minit pertama dipertontonkan kepadanya.- nasionalkini.my