Oleh Luth Adwa
PONTIAN, 4 Julai – Hanya dengan menjual karipap atau lebih dikenali sebagai epok-epok di negeri ini, seorang penjaja mampu memperoleh antara RM60,000 hingga RM80,000 sebulan.
Ada ketika jualannya mencecah RM100,000 pada musim cuti sekolah.
Perniagaan diusahahakan Jasmin Pannoot, 49, itu juga membuka peluang pekerjaan kepada 15 pekerja termasuk golongan muda.
Jasmin berkata, bermodalkan RM40, dia memulakan perniagaan Karipap Ale-Ale selepas beberapa bisnes sebelum ini gagal.
“Pada awalnya saya gendong bakul sambil menyanyikan lagu pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT).
“Memang sukar juga untuk membuang rasa malu, namun demi isteri dan tujuh orang anak, semuanya dibuang jauh-jauh,” katanya ketika ditemui di sini.
Jasmin berkata, setelah melalui pelbagai cabaran dia kini membuka kedai hasil bimbingan Pihak Berkuasa Pekebun Kecil Getah (RISDA).
Kedai itu mampu mengeluarkan antara 2,000 hingga 5,000 epok-epok sehari.
Menurutnya, dia juga sudah membuka ‘stall’ di beberapa kedai makanan popular seperti Restoran Kopi Tenggek di Tanjung Piai dan Restoran Kemangi di Bandar Pontian.
“Karipap yang saya jual mempunyai pelbagai jenis inti seperti kentang, telur dan sardin.
“Saya jual dengan harga antara RM1 hingga RM5 bergantung saiz.
“Karipap sejuk beku pula dijual dengan harga RM8 sebungkus bergantung pada produk dan inti dengan saiz.
“Saya juga telah mengadakan perbincangan dengan usahawan Singapura bagi membolehkan Karipap Ale-Ale dipasarkan ke sana,” katanya. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN