KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang akan terus membantu pengurusan masjid-masjid di negeri ini dalam usaha mewujudkan koperasi bagi meningkatkan taraf hidup kariah setempat.
Langkah itu terbukti berhasil apabila sehingga kini sebanyak 95 masjid di Pahang sudah mewujudkan koperasi masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, kewujudan koperasi masjid itu bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan dan ekonomi kariah, malah melahirkan sifat kebersamaan dalam kalangan penduduk.
Beliau berkata, sehingga kini 95 masjid di seluruh Pahang telah mempunyai koperasi sendiri dan yakin jumlah itu akan meningkat memandangkan beberapa masjid juga dapat proses berbuat demikian.

Menurutnya, kerajaan negeri juga tidak sekali-kali lepas tangan sebaliknya akan terus membantu pihak masjid dalam usaha mewujudkan koperasi masjid masing-masing.
“Jangan nanti apabila sesuatu koperasi masjid itu sudah mencapai kejayaan, ada kariah yang hilang kesetiaan.
“Perlu ada kebersamaan. Setiap halangan yang dihadapi boleh diselesaikan melalui perbincangan dan muafakat,” katanya ketika berucap merasmikan Koperasi Kariah Masjid Imam Ash-Shafie KotaSAS Berhad (Co-MIASK) di sini.
Jelasnya, adalah penting setiap kariah memahami tujuan sebenar kewujudan koperasi masjid yang bertujuan meningkatkan ekonomi.
Sementara itu, Pengerusi Ahli Lembaga Koperasi Co-MIASK merangkap Pengerusi Masjid MIASK, Izudin Muhamad Amin dalam ucapannya berkata, kewujudan Co-MIASK antara lain bagi meningkat ekonomi ummah yang berteraskan nilai-nilai Islam.
Menurutnya, Co-MIASK juga akan membuka peluang ekonomi termasuk pekerjaan dan latihan kemahiran.
“Sebelum mewujudkan koperasi ini, kita menjalankan kajian termasuk mendapatkan pandangan serta nasihat daripada pelbagai agensi bagi memastikan hala tuju Co-MIASK berada pada landasan yang betul.
“Co-MIASK kini merancang melibatkan diri dalam beberapa jenis keusahawanan yang dapat meningkatkan pendapatan,” katanya.
Pada perasmian berkenaan, Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) dan Persatuan Orang Pekak Negeri Pahang (PADA) turut membuka reruai bagi memperkenalkan bahasa isyarat selain produk-produk yang dihasilkan.
MFD diwakili oleh Presidennya, Mohd. Norhisham Aluwi.
Turut diadakan pada program itu ialah jualan Rahmah untuk penduduk setempat.


