in

Sabah ‘tumbang’ di laman sendiri

Skuad Sang Badak juga terpaksa mengakui kehebatan JDT yang menyebabkan rekod tanpa kalah mereka dalam aksi Liga Super di Likas sebelum ini akhirnya lebur - Gambar oleh MFL

KOTA KINABALU, 9 Ogos – Sabah FC terpaksa akur dengan kelebihan Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas dibolosi 5-1 di gelanggang sendiri dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.

Skuad Sang Badak juga terpaksa mengakui kehebatan JDT yang menyebabkan rekod tanpa kalah mereka dalam aksi Liga Super di Likas sebelum ini akhirnya lebur.

Walaupun bermain agak baik di hadapan kira-kira 15,000 penyokong yang memenuhi Stadium Likas pada awal babak pertama, permainan Sabah FC berubah agak lemah selepas JDT mendahului melalui gol sepakan penalti pada minit ke-23.

Sebelum itu, semangat anak buah Datuk Ong Kim Swee kelihatan baik apabila berjaya mendahului jaringan pada minit ke-12.

Gol hasil sepakan Jafri Firdaus Chew itu bagaimanapun hanya mampu bertahan kira-kira empat minit sebelum JDT kemudian menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Juan Muniz pada minit ke-16.

Usaha Sabah menghalang JDT daripada menambah jaringan selepas itu kemudian gagal apabila pengadil memberikan sepakan penalti kepada skuad Harimau Selatan pada minit ke-23.

Skuad Sang Badak juga terpaksa mengakui kehebatan JDT yang menyebabkan rekod tanpa kalah mereka dalam aksi Liga Super di Likas sebelum ini akhirnya lebur – Gambar oleh MFL

Peluang baik untuk JDT itu berlaku selepas seorang pemainnya didakwa pengadil dijatuhkan oleh kapten Sabah, Rawilson Batuil di kawasan petak penalti pasukan tuan rumah.

Sepakan penalti disempurnakan Bergson Da Silva meletakkan JDT di hadapan dengan 2-1, sekali gus melunturkan semangat pemain Sang Badak untuk mengekang kemaraan Harimau Selatan di Stadium Likas, lapor BH.

Kedudukan itu kekal hingga permainan babak pertama berakhir dengan tambahan masa tiga minit, sebelum JDT kembali mencipta jaringan demi jaringan sejurus permainan beralih ke babak kedua.

Bergson menambah dua gol pada minit ke-61 dan ke-72 menjadikan tiga gol dijaringkan penyerang JDT itu di Stadium Likas pada malam ini, manakala satu lagi gol dijaringkan Herberty Fernandez pada minit ke-47.

Dengan jaringan besar 5-1 yang dilakar JDT sehingga minit ke-72 itu, jelas tiada peluang bagi pemain Sabah untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan ketika perlawanan semakin hampir ke penghujung.

Pemain Sabah yang kelihatan tertekan sepanjang separuh masa kedua tidak mampu menghalang kemaraan pemain JDT yang nampak lebih agresif dalam keinginan mereka untuk menambah jaringan.- nasionalkini.my

Dia ‘buang’ kami begitu saja – Fauziah

Perak menang lagi