Oleh Luth Adwa
ISKANDAR PUTERI, 4 Julai – Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari tidak menyangka skuad kendaliannya mudah ‘meratah’ Kuala Lumpur City (KL City) 6-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.
Katanya, KL City adalah pasukan yang sering mempamerkan persembahan mantap ketika beraksi di tempat lawan.
Skuad itu tidak pernah tewas lima perlawanan, termasuk menewaskan Kelantan United dan Sri Pahang selain seri dengan Penang dalam Liga Super.
“Mereka (KL City) juga menang dua aksi Piala FA di gelanggang lawan pada suku akhir (Sabah) dan separuh akhir (Terengganu FC),” katanya.
Solari berkata, pemainnya beraksi secara konsisten dan mula memberi tekanan sejak awal permainan.
“Namun, rentak permainan agak longgar pada babak kedua, malah saya dapat gambarkan kami seolah-olah hilang keghairahan sehingga membuka ruang buat pasukan lawan menjaringkan gol.
“Saya tidak kecewa dengan kegagalan benteng menghalang lawan menjaringkan gol dan saya anggap ia memberi ruang untuk memperkemaskan lagi posisi itu bagi memastikan ia tidak berulang,” katanya lagi.
Pada perlawanan itu, Diogo Luis Santo meledak hatrik apabila menjaringkan gol pada minit ke-11, 35 dan 44 disusuli jaringan Arif Aiman Hanapi (13), Safiq Rahim (86) dan Akhyar Rashid (89) manakala Marko Zirdum menjaringkan gol sagu hati untuk pasukan KL City.
“Namun, pada perlawanan ini, `set-piece’ dilakukan kurang menjadi berbanding ketika menentang Selangor dan kami kena tengok apa perlu dibaiki,” katanya. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN