in

Denda RM200,000 guna dokumen palsu mohon PENJANA

IMG 20230704 124435 800 x 500 pixel
Tertuduh didenda RM200,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Melaka hari ini kerana menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu Borang Permohonan Program Insentif PENJANA 2.0 atas nama sebuah syarikat dua tahun lalu

Oleh Yusuf Shafie

AYER KEROH, 4 Julai – Seorang peniaga didenda RM200,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu Borang Permohonan Program Insentif PENJANA 2.0 atas nama sebuah syarikat dua tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan salah tertuduh, Mohd Azmi Mat Sah, 55, dan mensabitkannya dengan pertuduhan pilihan serta menimbangkan fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.

Elesabet turut menetapkan hukuman penjara 12 bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja (Hiring Incentive Program) dengan mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.

Kesalahan dilakukan di pejabat DRAZZ Global Resources di Jalan Kristal Merah 2, Kompleks Perniagaan Limbongan dalam daerah Melaka Tengah pada 5 Jun 2021.

Sabit kesalahan membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwanshah Abdul Samat mencadangkan hukuman setimpal kerana kesalahan itu melibatkan kepentingan awam manakala sebahagian pekerja tidak pernah berkerja dengan tertuduh.

Peguam Azrul Zulkifli Stork bagaimanapun memohon agar hukuman rendah tanpa penjara memandangkan tertuduh mempunyai penyakit darah tinggi kronik.

Elesabet turut membenarkan wang baki di dalam akaun syarikat tersebut sebanyak RM16,402.93 dilucut hak. – nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

IMG 20230704 122155 800 x 500 pixel

Johor Port kongsi kepakaran TVET

IMG 20230704 130757 800 x 500 pixel

Jual karipap RM100,000 sebulan