ISKANDAR PUTERI, 20 Ogos – Johor Darul Ta’zim (JDT) berpesta gol membelasah Kelantan FC 10-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor, malam tadi.
Kemenangan itu menyaksikan JDT layak ke pusingan suku akhir dengan agregat 15-1.
JDT akan berdepan sama ada Negeri Sembilan FC atau Kelantan United FC yang akan bertemu di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok (malam ini).
Dalam perlawanan malam tadi, JDT memperoleh gol pertama pada minit ke-21 hasil umpanan Kunimoto dan disudahkan Bergson.
Kunimoto kemudiannya mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-24 selepas bertindak menggelecek tiga pertahanan Kelantan FC.
Pada minit ke-37, Kunimoto yang melepasi perangkap ofsaid bijak melakukan `voli’ sekali gus mencetak gol kedua peribadi.
JDT seterusnya memperoleh gol pada minit ke-53 (Juan Muniz), minit ke-59 (Daryl Sham George), minit ke-61 (Heberty Fernandes), minit ke-64 (Arif Aiman), minit ke-73 (Bergson) dan minit ke-90 oleh pemain gantian, Asyar Hadi Shapri.
Jumlah jaringan itu mengatasi catatan Terengganu FC yang membelasah Kelantan FC 8-0 pada aksi Liga Super, baru-baru ini.- nasionalkini.my