in ,

Kanun Melayu dahului model Eropah ratusan tahun, titah Tunku Azizah

8cf1b3f3 d079 492d a053 e2d72593de3a

Tengku Ampuan Pahang bertitah Hukum Kanun Melaka dan Hukum Kanun Pahang cabar andaian raja Melayu memerintah secara mutlak tanpa terikat undang-undang.

JAKARTA, INDONESIA 20 Ogos 2026: Hukum Kanun Melaka (HKM) dan Hukum Kanun Pahang (HKP) membuktikan Kesultanan Melayu telah membangunkan sistem tata kelola perlembagaan tersusun berabad lamanya sebelum model Eropah diperkenalkan, kata Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Tunku Azizah berkata, dua manuskrip itu sekian lama dianggap sebagai kod undang-undang lama berkaitan jenayah, hukuman, perdagangan, undang-undang Islam, dan adat-istiadat Melayu.

Namun, baginda bertitah, pembacaan lebih mendalam menunjukkan manuskrip tersebut melangkaui perkara berkenaan dengan menakrifkan kedaulatan, kuasa politik, peranan pemerintah serta pembesar, dan pentadbiran keadilan.

“Teks-teks ini merangkumi kedudukan Sultan, peranan menteri, hakim, dan pembesar, pentadbiran keadilan, kuasa maritim dan perdagangan, serta hubungan antara Islam, undang-undang dan adat-istiadat.

“Ini bukan sekadar peruntukan undang-undang yang berasingan. Secara keseluruhannya, ia membentuk satu seni bina tata kelola,” titah baginda.

Tunku Azizah berkata, dapatan berkenaan turut menyebabkan baginda menilai semula andaian Kesultanan Melayu telah beralih secara sejarah daripada sistem monarki mutlak kepada monarki perlembagaan.

Titahnya, tajuk asal kertas kerja baginda ialah ‘Dari Monarki Mutlak kepada Monarki Perlembagaan’, namun bukti dalam manuskrip berkenaan menyebabkan baginda mempersoalkan sama ada pemerintahan raja Melayu pernah bersifat ‘mutlak’ dalam erti kata tanpa had undang-undang.

“Bagaimana jika Kesultanan Melayu tidak pernah bersifat ‘mutlak’ dalam erti kata wujud tanpa undang-undang? Bagaimana jika kedaulatan sentiasa wujud dalam satu tatanan normatif, dibatasi oleh Islam, undang-undang, adat, keadilan, jawatan dan tanggungjawab?” titah baginda.

Tunku Azizah bertitah, apa yang terbukti bukanlah bermaksud permulaan perlembagaan semata-mata, melainkan bukti keberadaan tradisi perlembagaan pribumi yang lebih tua, di mana kedaulatan beroperasi dalam tatanan normatif yang sedia terbina.

Baginda menekankan bahawa ia tidak bermakna perlembagaan moden menyerupai dengan kanun lama, sebaliknya idea mengenai kerajaan yang teratur, kedaulatan berlandaskan undang-undang, tanggungjawab, keadilan, dan kewibawaan institusi tidak muncul secara mengejut, bersama instrumen perlembagaan Eropah.

Titahnya, ia menjadi sebab HKM dan HKP perlu dipelajari menerusi lensa perlembagaan, dan bukannya sekadar dilihat sebagai himpunan undang-undang sejarah semata-mata.

Tunku Azizah bertitah demikian dalam kertas kerja dibentangkan pada persidangan ‘Manuscripts and the Diversity of Islam(s) in Southeast Asia di Universitas Islam Internasional Indonesia (UIII)’ di Depok, Indonesia, semalam.

Kertas kerja baginda yang bertajuk ‘Re-Reading Malay Legal Manuscripts as Constitutional Texts: The Continuity of Hukum Kanun Melaka and Hukum Kanun Pahang’, berhujah HKM dan HKP sudah membentuk susunan kuasa politik yang teratur berteraskan pemikiran politik Islam serta dizahirkan dalam bahasa Melayu melalui tulisan Jawi.

Tunku Azizah juga merupakan calon ijazah sarjana di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Baginda juga mengetengahkan HKP sebagai bukti tradisi perlembagaan Melaka diteruskan di Pahang.

Titahnya, Sultan Muhammad Shah, putera kepada Sultan Mansur Shah dari Melaka dan puteri Pahang Puteri Onang Sari, bertindak mengasaskan Kesultanan Islam Pahang pada 1470.

Ia berlaku lebih 40 tahun sebelum Melaka jatuh ke tangan Portugis pada 1511, iaitu bermaksud tradisi undang-undang dan politik Melaka telah bertapak di Pahang semasa Melaka masih berfungsi sebagai satu kesultanan.

Lebih seabad kemudian, Sultan Abdul Ghaffar Muhyiddin Shah telah memelihara, memurnikan, dan mengkodifikasikan tradisi diwarisi itu ke dalam HKP.

“Jadi, HKP bukan sekadar satu lagi kod undang-undang. Dalam banyak sudut, ia merupakan kesinambungan HKM di Pahang,” titah Tunku Azizah.

Titahnya, HKP mengekalkan teras perlembagaan tradisi Melaka yang disesuaikan dengan realiti politik, pentadbiran, dan maritim Pahang.

Manuskrip yang masih wujud juga menunjukkan bagaimana tradisi tersebut diwarisi merentasi abad, dengan manuskrip lengkap Pahang dikembalikan dari Patani pada 1993 dan 1999, manakala satu lagi muncul pada Mac tahun ini dan sedang melalui proses pemuliharaan.

Kanun berkaitan juga telah dikenal pasti di Brunei, Riau, Sambas, dan Perak, yang ditekankan Tunku Azizah sebagai rumpun teks undang-undang dan perlembagaan Melayu-Islam yang lebih meluas.

“Perbendaharaan kata mungkin telah berubah. Bentuknya mungkin telah berubah. Namun, gagasan pemerintahan berasaskan undang-undang adalah jauh lebih tua,” kata beliau.

“Sebelum kita bertanya dari mana datangnya perlembagaan moden kita, mungkin kita perlu terlebih dahulu mengingati tamadun perlembagaan yang memang sedia wujud di sini,” titah baginda.

IMG 20260819 WA0019

Kota Melaka Jatuh, Tetapi Melaka Tidak Mati