Oleh Luth Adwa
SEBELUM ini pendapatan Permata Corner di Lorong Antarabangsa dekat Pontian, Johor hanya antara RM150 ke RM200 sehari.
Namun, ia melonjak lima kali ganda sehingga mencecah RM1,000 sehari selepas lokasi itu menjadi tumpuan orang ramai menjamu selera sambil menyaksikan matahari terbenam.
Pemilik Permata Corner, Nurhidayah Abdul Razak, 34, berkata, pada mulanya, dia tidak pernah terfikir untuk meluaskan kawasan perniagaan sehingga ke tepi pantai sejak berniaga kira-kira dua tahun lalu.
“Pelanggan yang datang ke Permata Corner mencadangkan saya menambah kerusi meja sehingga ke kawasan pantai kerana pandangan pada waktu senja yang cukup indah.
“Saya juga memberi peluang kepada saudara mara yang lain dengan membuka dua gerai untuk (menjual) nasi lemak, sup kambing, sate, chicken chop dan lempeng,” katanya kepada wakil nasionalkini.my baru-baru ini.
Nurhidayah berkata, bermula dengan hanya tiga meja, Permata Corner kini berubah dan boleh dikatakan setiap hari menjadi tumpuan orang ramai.
Menurutnya, selain melihat keindahan matahari terbenam, kawasan ini turut memberi peluang kepada pengunjung menikmati pelbagai sajian disediakan.
“Dari kawasan ini (Permata Coner), pengunjung juga boleh melihat Pulau Pisang, satu-satunya pulau yang berada di daerah Pontian yang terletak kira-kira 12 kilometer dari bandar Pontian,” jelasnya.
Restoran itu dibuka bermula jam 5.30 petang hingga jam 11.30 malam dan tidak beroperasi pada hari Isnin.- nasionalkini.my