KUALA LUMPUR, 2 Julai – Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa siasatan bebas dan telus dilaksanakan terhadap dakwaan rasuah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibangkitkan Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing.
Presidennya, Datuk Tan Kok Liang, berkata isu rasuah membabitkan pegawai Imigresen di KLIA serta penganiayaan terhadap pelancong bukan perkara baharu dan ia tidak membabitkan pengembara dari China semata-mata.
“MATTA sudah beberapa kali menimbulkan kebimbangan mengenai perkara ini kerana ia menghalang usaha kita untuk memasarkan sektor pelancongan.
“Isu utamanya kini adakah terdapat sebarang rasuah, salah guna kuasa atau layanan buruk terhadap pelancong, bukan sama ada King Sing melanggar protokol kerana itu adalah perkara kedua,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Terdahulu tular foto mengenai kekecohan di Balai Ketibaan KLIA apabila seorang menteri didakwa cuba melepaskan seorang pelawat China yang ditahan imigresen.
Bagaimanapun, King Sing yang mengakui menteri dimaksudkan itu adalah dirinya, menafikan dakwaan itu yang turut disiarkan sebuah portal berita dalam talian.
Menerusi kenyataan media, King Sing mempersoal siapa sebenarnya menyalah guna kuasa dalam kejadian itu, sama ada beliau atau pun pegawai Imigresen bertugas apabila mendedahkan kehadirannya ke KLIA itu membongkar budaya rasuah dalam kalangan pegawai di pintu masuk negara itu.
Dalam pada itu, Kok Liang berkata kerajaan perlu berusaha menaikkan imej negara sebagai sebuah destinasi pelancongan yang selamat, serta menghapuskan rasuah di semua peringkat terutamanya KLIA.
“Sudah tiba masanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menilai semula keadaan berdasarkan perkembangan semasa di pintu masuk utama di Malaysia.
“Kaji semula prosedur semasa mengenai pengendalian pengembara dengan status NTL (Notis Tolak Kemasukan) juga penting untuk mengelakkan penyalahgunaan apabila Malaysia bersiap sedia untuk menerima lebih ramai pelancong antarabangsa.
“Tindakan diambil menteri itu sedikit sebanyak memberi kelegaan apabila beliau serius dengan tugasnya,” katanya. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN