Oleh Adam Aariz
KUALA LUMPUR, 6 Julai – Syarikat swasta yang bertanggungjawab mengeluarkan Notis Penolakan Masuk (NTL) Jabatan Imigresen kepada pengembara asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sedang disiasat.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata wakil daripada kementerian dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa syarikat penerbangan yang mengupah firma berkenaan.
“Kami perlu mengetahui daripada Jawatankuasa Pengendali Syarikat Penerbangan KLIA (AOC) mengenai tempoh kontrak dan perjanjian yang mereka ada dengan syarikat swasta ini.
“Tindakan hanya akan diambil setelah kami menerima semua maklumat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Nature Positive Infrastructure, di sini, hari ini.

Terdahulu, MAHB menafikan pihaknya memberi kontrak kepada syarikat swasta berpangkalan di KLIA itu.
Anthony menambah, syarikat swasta itu diupah AOC pada 2015 untuk mengendalikan lounge NTL.
“Syarikat ini tidak dilantik oleh MAHB, malah saya bertanya kepada MAHB (semalam) di pasca mesyuarat Kabinet, dan mereka memberitahu tidak mengupah syarikat itu,” katanya.
Katanya lagi, AOC mengupah syarikat terbabit kerana mengikut Akta Imigresen, pengembara diberi notis NTL perlu dikendalikan syarikat penerbangan mereka.
“Syarikat penerbangan itu mesti menyediakan makanan dan mengatur proses perjalanan untuk keluar dari negara ini.
“Namun bagi KLIA 1, AOC melantik syarikat swasta mengendalikan perkara ini, sebab itu kita mempunyai isu ini sekarang,” katanya.
Semalam, Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, berkata ejen didakwa meminta bayaran untuk membantu seorang warga China selepas dinafikan masuk ke Malaysia itu mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat diberi kontrak oleh MAHB untuk menguruskan pengembara yang menerima notis NTL. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN