Adam Aariz
KUALA LUMPUR, 1 Julai – Polis Pulau Pinang mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung kekecohan berkait pembesar suara laungan azan di Masjid Sungai Puyu, Butterworth semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Superitendan Siti Salawati Saad berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, siasatan juga polis mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.
“Pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak cuba mensensasikan atau membuat provokasi kemarahan yang boleh menimbulkan isu perkauman atau pun kegusaran awam,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, media melaporkan seorang pemuda tempatan membuat provokasi ke atas jemaah Masjid Sungai Puyu dengan mengarahkan jemaah masjid memperlahankan azan.
Bagi mengelakkan kejadian yang sama tidak berulang dan menimbulkan ketegangan, insiden tersebut telah dilaporkan di dua balai polis berasingan oleh jemaah yang terlibat.
Sebelum ini, Pulau Pinang telah dikejutkan dengan isu pertikaian berkenaan suara azan yang dibangkitkan wakil sebuah persatuan penduduk yang mahu suara azan diperlahankan di kawasan kediaman mereka. – nasionalkini.my