Oleh Adam Aariz
KUALA LUMPUR, 30 JUN: Jabatan Imigresen menyiasat kekecohan didakwa membabitkan seorang menteri yang didakwa cuba menyelamatkan seorang wanita warga China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.
Ketua pengarahnya Datuk Ruslin Jusoh, berkata siasatan akan dijalankan secara menyeluruh merangkumi semua aspek berkaitan.
“Sehubungan dengan itu, jabatan ini memohon supaya orang ramai memberikan ruang agar siasatan dapat dijalankan dengan telus dan tidak membuat sebarang spekulasi atau provokasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media melaporkan seorang menteri membuat kecoh apabila masuk ke balai ketibaan untuk membantu seorang warga China yang ditahan daripada masuk ke negara ini.
Menteri itu juga dilaporkan memarahi polis bantuan KLIA dan pegawai imigresen ketika beliau cuba membantu wanita berkenaan.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni, dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dalam satu kenyataan mengesahkan dirinya adalah menteri seperti dalam laporan portal itu.
Jelas beliau, pelancong wanita itu ditahan tanpa diberikan alasan atau sebab beliau ditahan, malah hanya diberikan makan sekali sahaja ketika ditahan dalam tempoh 15 jam.
“Saya diberitahu ada pegawai Imigresen meminta wang sekiranya pelancong asing yang ditahan mahu dilepaskan. Ada yang minta sehingga RM3,000 untuk dikeluarkan dari tahanan, manakala RM12,000 untuk kos memproses visa.
“Semua maklumat ini akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata pihak berkuasa sedang menyiasat kejadian itu. – nasionalkini.my