KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki segera diganti berikutan kenyataan yang membela Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap dakwaan rasuah pilihan raya.
C4 Center menegaskan Azam tidak wajar mengeluarkan kenyataan berkenaan dan perlu diganti sebagai sebahagian daripada pembaharuan segera bagi memastikan kebebasan SPRM dalam melaksanakan tugas.
“Pembaharuan segera mesti dilaksanakan bagi memastikan kebebasan SPRM termasuk penggantian serta-merta ketua pesuruhjaya, berikutan telah berulang kali menunjukkan kredibiliti SPRM telah merosot di bawah kepimpinannya.
“Terdapat alasan undang-undang untuk SPRM menyiasat pengumuman Ahmad Zahid baru-baru ini mengenai geran persekutuan untuk kumpulan belia Terengganu, kerana terdapat petunjuk bahawa jumlah itu mungkin dinaikkan bergantung kepada keputusan pilihan raya negeri (PRN),” katanya dalam kenyataan.
C4 Center memetik Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang merangkumi ‘amalan rasuah’ dan termasuk menawarkan atau menjanjikan sebarang wang atau balasan berharga untuk mana-mana pengundi.
“Yang mana boleh ditafsirkan dengan cara yang meliputi tindakan Ahmad Zahid,” kata kumpulan itu.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, semasa majlis kementerian di Terengganu pada 28 Jun lalu mengumumkan peruntukan RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu dan RM200,000 kepada pasukan bermotosikal di seluruh negeri itu.
Mengulas lanjut, C3 berpandnagan, Azam tidak perlu mengeluarkan garis panduan baharu untuk mengawal pemberian bantuan dan peruntukan kerajaan semasa pilihan raya.
“Bagaimanapun, keyakinannya bahawa tindakan Ahmad Zahid tidak melanggar mana-mana undang-undang, tanpa menjalankan sebarang siasatan mengenai perkara itu, mencerminkan salah baca asas undang-undang yang dipetiknya,” kata C4 Center.